Rencana

Ulasan mengenai dakwaan Exco Pemuda UMNO “BTN baik untuk mahasiswa” Oleh Mazir Ibrahim, Ketua Biro PR, DAPSY Malaysia

BARU-BARU ini berlangsung satu wacana bertajuk ‘Kuasa Politik Mahasiswa’ yang dianjurkan oleh Sinar Harian. Program ini merupakan satu usaha yang terpuji yang dibuat pihak penganjur dan semua panelis yang terbabit, tahniah diucapkan.

Namun, saya tidak sempat untuk mengikuti acara terbabit akibat kekangan waktu dan tempat. Pastinya isi wacana itu sangat baik untuk semua pihak. Inilah budaya sihat yang akan dapat memastikan amalan politik kita berubah menjadi cerah dengan budaya wacana yang sihat dan dinamik.

Saya juga amat tertarik dengan ungkapan yang dilaporkan Malaysiakini.com oleh seorang daripada panelis, wakil daripada Exco Pemuda UMNO iaitu Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa program yang dilaksanakan oleh kerajaan BN iaitu Kem Biro Tatanegara (BTN) adalah satu program yang baik untuk mahasiswa.

Beliau beranggapan bahawa BTN “sebagai medan terbaik untuk pelajar universiti melontarkan pandangan kritikal terhadap polisi kerajaan.”

Tambah beliau lagi “tenaga pengajar di kursus BTN itu berpandangan bahawa program itu adalah medium terbaik untuk kerajaan menerangkan polisi mereka kepada mahasiswa.”

Saya adalah bekas pelajar yang pernah mengikuti kursus berkenaan ketika menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) beberapa tahun lalu dan saya dapati hujah Tun Faisal amat bercanggah dengan apa yang saya alami berdasarkan pengalaman beberapa tahun lalu.

Ketika menjalani latihan kursus, saya tidak berjumpa walau satu sesi ipun yang ada ruang untuk ‘pelajar utarakan pandangan peribadi, berbahas atau mengkritik dasar kerajaan’. Sebaliknya, pelajar didorong menerusi ‘modul’ oleh fasilitator untuk berhujah atas ‘skrip’ yang telah diatur terlebih dahulu.

Jadi, pandangan kritikal apakah yang dimaksudkan oleh Tun Faisal itu? Adakah pandangan kritikal yang cuba dijelaskan beliau itu sesuai dengan semangat kebebasan untuk mahasiswa berkecimpung dalam kepentingan masyarakat dan politik? Atau sekadar berhujah menyokong dasar kerajaan a.k.a parti UMNO?

Tun Faisal juga (mengikut laporan Malaysiakini) secara sinis menyatakan “Katakan kalau Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya pada masa hadapan, mereka juga akan melakukan perkara yang sama. Ini bukan perkara yang pelik,”. Ungkapan itu jelas untuk ‘mengabsahkan’ projek UMNO itu.

Ungkapan beliau itu sungguh juling sekali. Beliau harus tahu beza antara peranan atau dasar kerajaan dengan keperluan kepartian. Isu besar atau penting yang kita persoalkan mengenai BTN selama ini adalah orientasinya, bukan matlamatnya. Matlamat BTN saya fikir agak jelas dan tiada apa-apa masalah selagi ia tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi, yang dipersoalkan adalaah orientasi BTN yang menjadi medan indoktrinasi pelajar Melayu untuk – UMNO.

Untuk menyokong hujah saya ini, telah saya titipkan penjelasan mengenai penggunaan lagu ‘Anak kecil Main Api’ yang mana lagu ini merupakan ‘runut bunyi’ untuk BTN. Ia dijelaskan dalam tulisan saya yang terdahulu di http://roketkini.com/2011/11/11/%E2%80%9Canak-kecil-main-api%E2%80%9D-oleh-mazir-ibrahim/ .

Malah saya turut menjelaskan perbezaan antara melatih kader untuk manfaat parti politik tertentu dengan membuka ruang latihan dan pencerahan untuk mahasiswa (golongan muda) mendapat manfaat daripada perubahan budaya politik zaman ini. Penjelasan lanjut di http://roketkini.com/2013/01/23/selepas-auku-dimansuh-apa-cabarannya-oleh-mazir-ibrahim/

Maka, dalam isu BTN ini, dengan bahasa lebih mudah untuk difahami adalah, UMNO menggunakan jentera kerajaan (agensi) dengan berselindung atas matlamat untuk ‘negara’ sebaliknya menggunakan platform itu untuk menekan pelajar menyokong UMNO. Ini jelas satu salah guna kuasa politik dan ia berlaku cukup lama.Rencana

Isu sama ada PR akan meneruskan BTN jika memerintah kelak bukanlah perkara utama, tetapi apa yang pasti setiap dasar atau langkah kerajaan UMNO/BN selama ini, pasti akan kita (Pakatan Rakyat) akan mengkaji semula termasuk BTN, demi memastikan salah guna kuasa politik ini dihentikan terus. Itu janji PR. – Roketkini.com