Berita

Kit Siang minta pandangan rakyat samada perlu tandatangan ikrar integriti pilihan raya

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meminta rakyat Malaysia memberi pandangan sama ada beliau perlu menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia (TI-M) selepas ditandtangi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ini kerana Pengerusi TI-M, Paul Low mengakui bahawa Ikrar Integriti Pilihan Raya (EIP) yang ditandatangani Najib minggu lalu tidak terikat dengan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, TI-M akan mempertanggungjawabkan mereka yang menanda tangan, termasuk Najib, dengan mendedahkan kesalahan mereka pada laman sesawang dan media sosial seperti Facebook danTwitter untuk memberi tekanan kepada mereka yang melanggar ikrar itu.

“Saya berterima kasih kepada Paul Low kerana berterus-terang mengakui bahawa tiada cara untuk menguatkuasakan undang-undang tanda tangan ikrar itu kerana kurangnya moral, etika dan kemampuan meyakinkan kerana strategi “memalukan mereka yang melanggar ikrar secara atas talian” tidak mungkin menggusarkan mereka yang melanggar ikrar itu.

“Saya bersedia menandatangani ikrar itu tetapi mestilah sesuatu yang bermakna, bukannya amalan sia-sia hanya untuk “menutup” rasuah yang berleluasa dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang ingkar integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan Pengiraan Detik 40 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, itu sebab Najib boleh menjadi pelanggar ikrar bersiri dalam tempoh 15 hari Tahun Baru Cina, termasuk mencipta pembohongan di Kuala Terengganu apabila mendakwa undi untuk DAP adalah satu undi kepada penindasan terhadap umat Islam seluruhnya.

“Najib juga memberi arahan bersifat perkauman dan memecah-belahkan apabila secara eksklusif menayangkan filem 13 Mei, Tanda Putera, kepada 3,000 peneroka Felda walaupun Kabinet membuat keputusan November lalu bahawa filem itu “tidak sesuai” ditayangkang kerana “berat sebelah” dalam memaparkan rusuhan 13 Mei 1969.

“UMNO/BN juga bersalah melakukan rasuah “politik wang” menjelang PRU-13 dengan perbelanjaan besar melebihi RM3.5 juta untuk menjemput bintang K-Pop Korea, Psy dan Gangnam Style ke Pulau Pinang untuk Rumah Terbuka Tahun Baru Cina BN pada 11 Februari lalu.

“Najib dan UMNO/BN tidak rasa malu dengan rekod buruk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI sepanjang 18 tahun lalu terutama empat tahun yang paling korup ketika pemerintahan Najib berbanding Perdana Menteri sebelumnya,” katanya.

Menurut Kit Siang, setakat ini Najib tidak mempedulikan strategi “namakan dan malukan” paling teruk dan memalukan membabitkan skandal antarabangsa yang sudah lama tidak selesai, baik pembunuhan C4 warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, pembelian kapal selam Scorpene berjumlah RM7 bilion daripada syarikat pertahanan Perancis DCNS dan skandal besar perolehan kewangan pertahanan seperti penipuan penswastaan RM400 juta Kementerian Kewangan membaitkan Ketua Wanita UMNO Selangor, Raja Ropiaah Raja Abdullah

“Sebab itu saya mempertikaikan sama ada TI-M mempunyai mekanisme untuk menerima dan menyiasat rungutan bahawa penandatangan melanggar empat prinsip yang termaktub dalam ikrar itu baik ketika menjelang atau ketika kempen PRU-13.

“Adakah TI-M mempunyai peruntukan memadam dan membatalkan penandatangan kepada ikrar yang terang-terangan melanggar empat prinsipnya menjelang PRU-13,” katanya.- Roketkini.com