Berita

PBAPP berjaya kurangkan NRW terendah di Malaysia

GEORGE TOWN, 8 MAC: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) berjaya mengurangkan kadar air tanpa hasil (non revenue water) daripada 18.4 peratus pada 2011 kepada 17.6 peratus tahun lalu.

Ini membuktikan PBAPP adalah pengusaha bekalan air negeri pertama di Pulau Pinang yang mencatat kejayaan itu serta yang terendah di Malaysia yang purata pengurangan NRW adalah 36.7 peratus.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, semua pihak harus sedar dan perlu terus meningkatkan pencapaian demi memastikan faedah dan manfaat untuk kakitangan dan pekerja juga dapat dipertingkatkan.

“Sudah tentu syarikat akan berkongsi bersama setiap keuntungan yang dituai hasil titik peluh kakitangan menerusi imbuhan sewajarnya,” katanya berucap pada majlis menandatangani perjanjian kolektif antara PBAPP dan Kesatuan Kakitangan PBAPP serta Kesatuan Pekerja-pekerja PBAPP, di Hotel Traders, di sini, hari ini.

Perjanjian kolektif kelima itu berkuatkuasa 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2014.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan tempoh rundingan iaitu sejak April 2012 menunjukkan ia bukan satu proses yang mudah.

“Oleh itu saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza yang banyak membantu pihak pengurusan dan kesatuan mendapat suatu penyelesaian dan menakan bahawa dalam segala isu yang dibincangkan, keharmonian perusahaan tetap diutamakan oleh kedua-dua pihak.

“Saya berharap pihak kesatuan selepas ini akan terus memberi sokongan kepada setiap inisiatif dan program yang dirancangkan pihak pengurusan yang mendapat sokongan daripada Lembaga Pengarah bagi memastikan komitmen syarikat menitikberatkan peningkatan berterusan bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan dan pengguna air di Pulau Pinang dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Menurut Guan Eng, gaji minimum RM1,100 yang dicadangkan membuktikan Pakatan Rakyat (PR) komited membantu pekerja dan majikan tempatan berbanding pekerja asing.

Katanya, berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang lebih mementingkan pekerja asing sebab itu menetapkan gaji minimum RM900 sebulan.-Roketkini.com