Berita

Sambutan Ulangtahun DAP ke-47 di Johor 18 Mac

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Bertemakan “Buka Lembaran Baru”, majlis Sambutan Ulangtahun DAP Peringkat Kebangsaan ke-47 akan diadakan secara besar-besaran di padang awam Sutera Mall, Skudai, Johor mulai jam 8 malam 18 Mac ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sambutan ulangtahun itu diadakan sempena penubuhan parti itu pada 18 Mac 1966.

Katanya, majlis sambutan itu diadakan di Johor kerana ia merupakan negeri utama dan menjadi tumpuan DAP dan Pakatan Rakyat (PR).

“Sambutan itu akan memberi fokus kepada isu nasional. Pada malam itu kita juga akan buat satu pengumuman penting mengenai hala tuju DAP pada pilihan raya nanti,” ujarnya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, majlis itu akan menampilkan barisan pimpinan tertinggi DAP dan PR dalam ceramah mega yang akan diadakan pada malam itu.

“Antara pemimpin yang akan memberi ucapan pada malam itu ialah Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,”  katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.

Sambutan ulangtahun DAP ke-47 itu dikelolakan Pemuda DAP Negeri Johor dan diketuai Ketua Pemuda DAP Negeri, Tan Hong Pin.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Vincent Wu Him Ven, Hong Pin dan Pengarah Jentera Pilihanraya DAP Negeri Johor, Ng Siam Luang. – Roketkini.com