Berita

Surat terbuka desak PM adakan sidang khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, semalam menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan dalam tempoh seminggu untuk mengadakan sidang khas Parlimen mengenai krisis Sulu di Sabah.

Beliau berkata, sidang khas Parlimen itu untuk mengutuk pembunuhan kejam, tidak berperikemanusiaan yang dilakukan pengganas Sulu terhadap anggota pasukan keselamatan Malaysia serta meminta kerajaan Filipina menggugurkan secara rasmi semua tuntutan ke atas Sabah.

“Saya masih terasa bahang kejutan, seram dan jijik yang dilaporkan media Cina, kelmarin mengenai pembunuhan kejam, tidak berperikemanusiaan yang dilakukan pengganas Sulu terhadap anggota polis Malaysia di kampung air, Kampung Simunul, Semporna, pada 2 Mac lalu sebagaimana yang didedahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ipoh, Ahad lalu.

“Pengganas Sulu dikatakan bertindak kejam dan ganas dengan memotong jari, merobek mata dan memenggal kepala wira negara ketika masih hidup di Semporna.

“Bagi saya ini adalah kali pertama pengesahan rasmi kekejaman tidak terkata yang dilakukan pengganas Sulu terhadap anggota pasukan keselamatan kita di Semporna walaupun ada khabar angin dan pengesahan mengenai insiden itu,” katanya dalam kenyataan mengenai Pengiraan Detik 30 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau menangani surat terbuka itu untuk menggesa Kabinet mengambil keputusan penting mengadakan sesi khas Parlimen supaya lapan anggota pasukan keselamatan yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna, serta semua anggota yang cedera dalam krisis itu diberi penghormatan dan pengiktirafan semua Menteri dan Parlimen, tanpa mengira parti politik, agama, bangsa atau wilayah.

Sidang khas Parlimen pernah diadakan pada 12 Januari tahun lalu di mana semua Ahli Parlimen Malaysia mengutuk kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Menurutnya, Perdana Menteri, Kabinet dan Parlimen akan dianggap lalai dalam tugas mereka jika tidak bersedia mengadakan sidang khas Parlimen untuk mengutuk kekejaman pengganas Sulu ke atas pasukan keselamatan di Lahad Datu dan Semporna.

Kit Siang berkata, Isnin lalu, beliau serta pemimpin PR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan bersama bagi pihak PKR, PAS dan DAP mendesak supaya Parlimen mengadakan mesyuarat tergempar membincang krisis Sulu di lahad Datu.

Beliau juga kesal kerana tidak ada seorang menteri pun yang menganggap krisis di Sabah itu penting yang perlu dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet, Rabu lalu.

“Saya berharap Menteri tidak lupa membincangkan mengenai keputusan sesi khas Parlimen mengenai krisis Sulu Sabah, pada mesyuarat Kabinet hari ini untuk menjelaskan kepada rakyat, terutamanya rakyat Sabah dan pasukan keselamatan yang perlu menanggung beban perbuatan pengecut dan kejam pengganas Sulu.

“Kabinet perlu memikirkan isu yang amat penting itu dibincangkan pada mengadakan mesyuarat khas Parlimen kecuali Perdana menteri bercadang membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebelum 19 Mac ini,” katanya.-Roketkini.com