Berita

Najib buat dakwaan palsu mengenai peningkatan GNI Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam membuat dua dakwaan palsu apabila mengatakan pendapatan kasar perkapita negara (GNI) meningkat 49 peratus iaitu daripada AS$6,670 kepada AS$9,970 dalam tempoh tiga tahun antara 2009 dan 2011.

Sebaliknya, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, GNI Malaysia tidak meningkat sebanyak 49 peratus dan Malaysia juga bukan negara paling pesat pertumbuhan GNI dalam tempoh berkenaan.

Katanya, mengikut laman web Bank Dunia menunjukkan angka sebenar GNI Malaysia perkapita untuk tempoh itu adalah AS$7,550 pada 2009, AS$8,090 (2010) dan $8,770 (2011).

Daripada data World Bank, GNI per kapita negara antara 2009 hingga 2011 meningkat hanya 16.15% dan bukannya 49% seperti yang didakwa Najib yang bercakap besar yang tiada isi bahawa “tiada negara di dunia mencapai keputusan seperti itu”.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, dakwaan Najib itu sama seperti dia mendakwa untuk menjadikan Malaysia demokrasi terbaik dunia, sedangkan beliau sendiri tidak bersedia menyokong pilihan raya umum yang bebas, bersih dan adil walaupun menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya baru-baru ini.

“Angka GNI per kapita yang dipetik Najib itu tidak konsisten dengan pertumbuhan GDP yang dikeluar dan dipetik kerajaan, Kadar pertumbuhan keduanya (GNI dan GDP) mengikut antara satu sama lain dengan rapat. Dengan itu kadar pertumbuhan 49% yang dipetik itu adalah mustahil dan tidak mencerminkan pertumbuhan sebenar GDP.

“Sebenarnya, daripada tinjauan ringkas data Bank Dunia, terdapat beberapa negara, termasuk dari ASEAN, yang menampakkan pertumbuhan pesat GNI per kapita dari 2009 hingga 2011, termasuk China 36.46%, Indonesia (36.1%), Singapura (19.15%), Botswana (19.14%), Thailand (19%) dan Filipina (18.18%).

“Saya hairan macam mana Najib boleh mendakwa di hadapan penonton televisyen bahawa Malaysia negara paling pesat pertumbuhan GNI perkapita sedangkan ia ketinggalan berbanding Thailand, Filipina dan Indonesia dari segi pertumbuhan GNI per kapita dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 29 Hari ke PRU-13, semalam.

Pada program TV3 “Conversation with the PM” semalam, Najib memberi satu lagi contoh tidak baik kerana sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan juga Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, juga seorang ahli ekonomi terlatih, Najib sepatutnya lebih tahu melainkan beliau jahil mengenainya.

Menurutnya, atau mungkin juga Najib fikir rakyat boleh ditipu untuk mempercayai angka yang dibuat-buat itu.-Roketkini.com