Rencana

DAP dan Melayu bukan dua entiti asing Oleh Hafiz Zainuddin

TIDAK ada apa yang sepatutnya lebih membanggakan bagi orang Melayu; selain punya budaya yang halus dan nilai estetik yang tergambar dalam kehidupan seharian, orang Melayu kini boleh berbangga apabila paradigma Melayu sebagai tuan yang dilakar mainan politik sampah ahli politik UMNO-Barisan Nasional (BN) telah tercerah dengan persepsi baru.

Mainan politik sampah bukan sekadar politik duit yang mencalit arang ke atas maruah bangsa, tetapi lebih bahaya daripada itu ialah manipulasi isu kaum dan agama yang sering menjadi modal politik untuk kuasa.

Sudah lumrah BN, daripada politik kuasa, ia tidak akan mampu meninggalkan budaya politik bolot yang menjadikan Malaysia tidak lebih sebagai tempat mengumpul harta buat sebahagian pemimpin korup. Percayalah, budaya politik bolot ini tidak akan hilang melainkan mereka dinobat sebagai oposisi.

Orang Melayu sudah sedar, akidah ketuanan Melayu dalam menilai kekayaan negara melalui kemajmukan masyarakat pelbagai bangsa nampaknya semakin terbuka. Sejarah lalu adalah pengajaran terpenting pembinaan bangsa dan negara. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Seluruh rakyat negara ini turut sama menyumbang ke arah pembinaan negara. Cuma, amanah itu sering dinodai ‘syaitan yang dikenali’.

DAP bukan untuk Cina
Pembinaan bangsa Malaysia, slogan Malaysian Malaysia, konsep 1Malaysia, Malaysian First; apapun, seluruh kita umpama warna dan corak terindah Aya Sofia dan Alhambra. Masing-masing berpaut pada satu kalimah. Walau detik berlalu pantas dan meninggalkan hiruk pikuk manusia yang mengibar panji berbeza.

Hakikat yang tidak pasti terluput sejarah, Melayu dan DAP bukanlah dua entiti yang asing. Sejak tahun 1970-an dan 1980-an, ramai saja orang Melayu bersama dengan perjuangan DAP. Nama seperti Ibrahim Singgeh, Ahmad Nor, Daing Ibrahim, Ahmu sebagai Ahmad Ton dan ramai lagi barisan tokoh kepimpinan DAP ketika itu adalah orang Melayu.

Bagaimanapun, tempias akibat dasar kerajaan BN ketika itu yang lebih mesra kepada orang Melayu dan pengawalan hampir 100 peratus ke atas media, tidak boleh tidak ia menyebabkan BN berjaya mematahkan kemaraan singa ‘DAP Melayu’ yang tak gentar berjuang mengangkat perjuangan rakyat.

Sampai suatu detik, masa seolah terhenti dan diisi rongga luas keserakahan UMNO-BN yang terus menerus memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia menerusi sistem yang diwarisi daripada penjajah Inggeris. Model pentadbiran pecah dan perintah ini telah meresap dan sebati dalam hampir semua dasar BN yang dilaksanakan.

Maka wujudlah segmen masyarakat yang dipisah oleh pelbagai karenah birokrasi dan diskriminasi. Melayu jadi marah dengan Cina, orang Cina tidak puas hati pada Melayu dan orang India menjadi mangsa yang terus berada dijurang kemiskinan.
Akibatnya, DAP terus-menerus kehilangan sokongan orang Melayu yang berjaya dikikis propaganda BN.

Hasilnya, kita tidak hairan bila ada gereja dibakar, bila kepala lembu diusung, ada masjid dicemari kepala khinzir, ada kuil diroboh, dan anak sekolah sudah pandai menyanyikan lagu “Anak kecil main api”. Sudah lama akidah politik Melayu perlu diselamatkan daripada UMNO-BN.

Senjata makan tuan: DAP konsisten, terbukti relevan

Hegemoni politik pecah dan perintah yang terpaksa dihadam sudah terburai. Dengan letusan media baru di Malaysia pasca 2008, DAP bukan hanya berjaya mengolah strategi kempen parti yang sebelum ini dilakukan secara tradisi melalui ceramah, makan malam, penerbitan risalah dan surat khabar. Parti secara terus mendapat nafas baru meluaskan capaian maklumat kepada seluruh rakyat Malaysia dan khususnya orang Melayu melalui media atas talian.

Bermula daripada itu, orang Melayu terutama generasi muda mampu mengakses dan memahami perjuangan DAP hanya di hujung jari. Roketkini.com telah menjadi lidah rasmi maklumat dan berita DAP berbahasa kebangsaan.

Hasilnya, DAP yang selama ini dilingkari dengan dongeng parti orang Cina dan parti perkauman mula terhakis. Keahlian orang Melayu dalam DAP semakin bertambah, sokongan golongan atas pagar makin meningkat.

Demi semangat Malaysia baru berlandaskan keluhuran perlembagaan. Semua cabaran perlu dilalui dengan berpegang teguh pada prinsip. Melayu sudah terbuka untuk berkongsi perjuangan dengan satu matlamat. Malaysia harus bebas daripada cengkaman UMNO-BN yang menghalalkan pencabulan hak dan demokrasi, rasuah dan salah guna kuasa. Rakyat Malaysia adalah tuan sebenar negara ini. Masa tidak akan menunggu, masa ini masa untuk semua berubah, bukan Cina saja!-Roketkini.com