Berita

Subsidi diberi, kos sara hidup makin tinggi?

KOTA KINABALU, 18 MAC: Kerajaan diminta mengkaji semula dasar pemberian subsidi yang sering disalahguna dan memberi keuntungan besar kepada golongan tertentu sedangkan rakyat terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu, berkata pemberian subsidi yang besar oleh kerajaan juga membuktikan bahawa ekonomi Malaysia masih belum mampu untuk menjana pendapatan yang tinggi kepada rakyat.

“Ini bukan sahaja membabitkan isu ekonomi negara tetapi melalui sistem subsidi, ia membuka ruang yang luas untuk disalahgunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan memberi contoh mudah, Dr Hiew berkata, sistem subsidi minyak negara umpamanya sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

“Salah guna subsidi minyak adalah antara kes yang kita selalu dengar. Misalnya di Sabah, minyak yang mendapat subsidi kerajaan sering diseludup keluar dalam jumlah yang besar. Wang rakyat yang digunakan untuk memberi subsidi rugi begitu sahaja.

“Bila berlaku demikian, sektor pengangkutan darat tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada subsidi khas yang diberikan, ia termasuk nelayan di bawah kategori tertentu,” ujar beliau.

Jumlah subsidi diesel dan petrol oleh kerajaan Malaysia pada 2010 ialah RM9.6 bilion manakala pada 2011 ia meningkat kepada RM15.9 bilion.

Tambahnya, beliau mahu kerajaan memikirkan kaedah terbaik menjimatkan wang negara dan pada masa yang sama mampu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat.

“Persoalan pokok di sini, sampai bila kita perlu hidup dalam satu sistem subsidi yang membebankan kerajaan dan bukannya hidup di bawah satu sistem ekonomi yang kukuh di mana setiap rakyat mampu mengekalkan corak perbelanjaan yang berterusan,” katanya. – Roketkini.com