Berita

Kerajaan PR P. Pinang sudah runding dengan rakyat, majoriti terima terowong dan lebuhraya

GEORGE TOWN, 21 MAC: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah berunding secara terbuka dengan rakyat serta masyarakat sivil sejak projek membina tiga lebuhraya dan satu terowong bawah laut bagi mengurangkan kesesakan trafik dicadangkan pada 2011.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan pendapat umum, input atau kritikan, tetapi hendaklah berdasarkan fakta dan objektif, bukannya bersifat berang atau sentimen tambahan pula sudah melalui proses tender dan dianugerahkan.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah mengambil pendekatan berunding dengan NGO serta orang awam melalui sesi dialog serta sesi “town hall” (mesyuarat dalam dewan orang ramai) di hadapan media massa.

“Malangnya, Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamad Idris serta badan lain yang menentang projek berkenaan tidak pernah menghadiri walau satu dialog atau sesi berkenaan.

“Saya hairan macam mana Pengerusi CAP boleh menentang projek itu sedangkan tidak pernah mendengar penjelasan pihak kami. Bagaimanapun, kami mengambil peluang untuk menjemput secara peribadi Pengerusi CAP untuk menghadiri mesyuarat supaya kami dapat menjelaskan keraguan dan kebimbangan pihak tuan luahkan,” katanya dalam

surat terbukanya kepada SM Mohamad Idris dan badan yang menentang pembinaan tiga lebuhraya dan satu terowong bawah laut itu, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, CAP gagal mengiktiraf usaha kerajaan negeri untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pengangkutan terpilih bagi semua 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri menyediakan bas percuma di perkarangan bandar warisan George Town, diikuti sistem “Park and Ride” untuk mereka yang berulang-alik dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas dan Balik Pulau yang menelan belanja  RM3 juta setahun.

“Apabila pendekatan itu disambut baik, kami cuba melanjutkan perkhidmatan bas percuma ke seluruh negeri pada waktu puncak dengan membayar Rapid Penang RM10 juta setahun.

“Bagaimanapun tawaran RM10 juta ini ditolak kerajaan Persekutuan tanpa apa-apa alasan dan mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengadakan operasi syarikat bas sendiri juga ditolak kerajaan Persekutuan.

“CAP tidak pernah menyokong usaha kerajaan negeri atau tidak mempertikai tindakan Kerajaan Persekutuan menolak bayaran yang ditawarkan bagi menyediakan perkhidmatan bas percuma itu,” tambahnya.

Guan Eng berkata, memandangkan Pulau Pinang sebagai bandar paling sesuai didiami di Malaysia, jumlah pelancong meningkat mendadak dan purata penggunaan Jambatan Pulau Pinang adalah 80,000 kenderaan sehari dan 108,000 kenderaan sehari pada musim perayaan, kerajaan negeri membuat keputusan untuk membina lebuhraya baru bagi mengurangkan kesesakan di kawasan kritikal.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh membina jambatan ke Seberang Perai kerana memerlukan kelulusan Persekutuan sebab itu bercadang membina terowong bawah dasar laut yang tidak membabitkan kerajaan Persekutuan.

Tiga lebuhraya baru yang akan dibina membabitkan jalan pintas 4.2km dari Pesiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu; jalan pintas 4.6km dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam, serta jalan berkembar 12km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahan serta terowong bawah laut 7km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam di Butterworth.

“Soal kesaksamaan turut diberi perhatian supaya penduduk Seberang Perai Utara (SPU) tidak dinafikan laluan penghubung ketiga, apabila Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan sudah diberi dua jambatan. Laluan penghubung ketiga juga akan memastikan pembangunan yang seimbang supaya SPU tidak ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi,” kata Guan Eng.-Roketkini.com.