Rencana

Hanya 10 minit untuk menghormati demokrasi? Oleh Adil Mat Selamat

MENTERI Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menyatakan bahawa selepas pembubaran Dewan Rakyat, semua parti politik yang bertanding pada PRU-13 dibenar membentangkan manifesto masing-masing di RTM.

Menurut beliau, setiap parti akan diberi masa selama 10 minit dengan syarat ketat yang ditetapkan RTM, agensi di bawah kementerian beliau yang mana kementerian itu diketuai beliau sendiri dengan menyiarkan berita dan laporan pro-BN semata-mata..

Rais memberi justifikasi atas tindakan ini sebagai ‘penghormatan kepada demokrasi’. Bagus tu, enak benar bunyinya. Inilah yang rakyat dambakan dari kerajaan. Soalnya sekarang, adakah ini satu pengakuan daripada pemimpin BN, adakah bermakna sebelum ini selama berdekad lamanya kerajaan BN tidak menghormati demokrasi?

Apa pun, bukan saja yang ditawarkan hanya 10 minit, diletakkan pula syarat-syarat termasuk mesti disediakan dalam bentuk rakaman, yakni bukan “live” atau secara langsung. Rakaman visual dan suara atau suara sahaja, atau siapa yang membuat rakaman? Siapa yang tentukan rakaman yang sah?

Namun kita percaya bahawa siaran 10 minit dalam bentuk rakaman ini dibuat untuk memastikan RTM boleh menyunting mana-mana bahagian menurut budi bicara mereka. Nampaknya kementerian Rais mahu jadi Lembaga Penapis Filem, mahu gunting mana-mana bahagian yang tidak disukai. Sudahlah ruang yang diberi itu 10 minit saja, nak kena potong lagi.

Apatah lagi Rais itu Menteri BN. Saban hari ia gunakan RTM untuk puji BN, hetam Pakatan Rakyat. Selama ini pun para pemimpin PR tak pernah diberi ruang untuk menjelaskan dasar, apa lagi mempertahankan diri daripada serangan zalim BN. Malah, tohmahan Rais terhadap PR pun tak diberi peluang menjawab.

Nampak gayanya, pemberian ini sangat tidak ikhlas. Bak kata orang, kalau nak beri, berilah betul-betul. Kalau ragu-ragu, baik jangan buat. Inikah namanya ‘penghormatan kepada demokrasi’?

Demokrasi bagi UMNO BN adalah menurut apa yang mereka fahami, jika dia nak beri itu maka diberinya, pandangan rakyat dan pembangkang ditolak tepi. Beginilah keikhlasan BN kepada rakyat. Upin dan Ipin pun dapat 30 minit setiap minggu, manifesto Pakatan Rakyat hanya 10 minit setiap lima tahun?

PR ini kalilah…BN lain kalilah.