Berita

“UMNO takut bila Cina undi PAS, Melayu undi DAP” – Dr Siti Mariah Mahmud

PUCHONG, 25 MAC: Rakyat Malaysia sudah berjaya keluar daripada mitos perkauman Barisan Nasional (BN) apabila konsep Malaysia untuk rakyat Malaysia semakin diterima dan didokong rakyat selepas Pilihan Raya Umum 2008.

“UMNO-BN tidak boleh terima bila orang Melayu undi DAP dan begitulah sebaliknya,” kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud.

Menurutnya, ini adalah antara kejayaan terbesar Pakatan Rakyat (PR) selain rekod tata kelola yang cemerlang di negeri yang ditadbirnya.

“Jika dulu orang Melayu ditakutkan dengan DAP, kini persepsi buruk dan ketakutan itu makin hilang. Melayu boleh undi DAP, orang Cina boleh undi PAS.

“Ini yang membuatkan UMNO-BN takut,” katanya pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP Puchong, kelmarin.

Menjelaskan lanjut, Dr Mariah berkata, mitos perkauman dan konsep pemerintahan pecah dan perintah amalan BN menjadikan masyarakat Malaysia berpuak-puak dan sering berprasangka.

“Dalam al-Quran ada menyebut kalau tuhan nak jadikan kita satu umat, Dia boleh lakukan. Tetapi kita dicipta berbeza supaya saling mengenali. Tuhan mencipta dan terima perbezaan ini,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta hadirin bertekad untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia untuk menolak BN pada pilihan raya umum nanti kerana telah lama memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Kita kena nilai seseorang itu atas kapasiti individu bukannya bangsa. Kalau baik orang Melayu itu, baiklah dia, kalau baik orang Cina itu, baiklah dia, kalau baik orang India, baiklah dia,” ujarnya.

Sehingga kini, keahlian orang Melayu dalam DAP semakin bertambah apabila mereka sedar perjuangan DAP melangkaui batas kaum dan agama dengan semangat Malaysia berasaskan Perlembagaan Persekutuan.-Roketkini.com