Berita

DAP yakin kakitangan kerajaan sedia berkhidmat cemerlang bersama kerajaan PR

PUCHONG, 25 MAC: Walaupun kerajaan yang memerintah negara bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), pegawai dan kakitangan kerajaan sedia ada tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka seperti yang biasa.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata mereka penting dan berpengalaman dalam pentadbiran serta melaksanakan apa juga dasar dasar yang ditetapkan.

Katanya, tuduhan bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu mentadbir Malaysia kerana tidak ada pengalaman adalah dangkal dan tidak benar kerana sudah dibuktikan PR dapat mentadbir dengan lebih cemerlang berbanding BN di negeri yang diperintahnya.

“Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan adalah empat yang diperintah PR yang mencatat kecemerlangan yang membanggakan dalam meningkatkan ekonomi negeri serta mentadbir dengan telus, tidak salah guna kuasa dan korup.

“Perkara penting bagi pemimpin ialah amanah. Di Selangor, kita tak ambil hak negeri. Masa kita jadi Exco, kita tak ambil kesempatan ternyata jauh bezanya dengan kerajaan UMNO-BN sebelum ini. Lihat saja skandal isu tanah murah yang mereka (BN) dapat ketika mereka berkuasa,” ujar Teresa.

Memberi perhatian khusus terhadap perkara itu, Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, walaupun kerajaan Selangor bertukar pemimpin pada 2008, kerajaan negeri terbukti berjaya menjana ekonomi yang baik dan melaksanakan banyak program kebajikan kepada rakyat.

Bagi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim, beliau mengakui walaupun kerajaan PR di Selangor baru sepenggal memerintah, kerajaan negeri berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Dalam lima tahun PR mentadbir Selangor, kita tidak pernah menaikkan cukai, kita keluarkan lagi RM800 juta untuk program kebajikan rakyat dan rizab simpanan kerajaan negeri bertambah berkali-kali ganda.

“Mungkin sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi banyak kali BR1M, tidak berani bubarkan Parlimen sebab mungkin dia sudah tahu BN akan kalah,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang.

Teng turut meletakkan keyakinan bahawa rakyat Selangor akan terus memberi mandat kepada PR untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.-Roketkini.com