Isu Semasa

Ahli Parlimen DAP berani tinggalkan kawasan ‘selamat’ untuk berjuang di Johor

KLUANG, 31 MAC: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, semalam diumumkan akan menjadi calon Parlimen P.152 Kluang dalam pilihanraya umum yang akan datang ini. Beliau menjadi pemimpin tertinggi DAP yang kedua bertandang ke Johor selepas Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, diumumkan calon untuk Parlimen P.162 Gelang Patah.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sewaktu satu jamuan anjuran DAP Kluang sini malam tadi.

Sewaktu pengumuman dibuat di hadapan ribuan hadirin yang menderma melalui pembelian meja makan malam tersebut, Liew mendapat sorakan dan tepukan gemuruh yang membayangkan sokongan yang bakal diperolehi dalam PRU13 nanti.

Pada masa ini, Parlimen Kluang adalah milik MCA-BN di mana ia disandang oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Hou Kok Chung. Ada ura-ura mengatakan Hou mungkin digantikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Shou, sebagai calon MCA-BN dalam PRU13 ini.

Sehubungan dengan itu, Guan Eng apabila menjelaskan pencalonan Liew, berkata bahawa pengundi Kluang dan Johor tidak akan rugi jika memilih DAP kerana Liew dijanjikan sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Menteri apabila Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Liew juga sudah berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di Pulau Pinang sejak 2008 di mana beliau berperanan membantu kerajaan negeri menggubal dasar-dasar untuk rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Selepas pengumuman dibuat, Liew yang bergegas ke satu majlis ceramah bersama PAS-DAP yang turut diadakan di sini malam tadi, memberitahu hadirin yang kebanyakannya orang Melayu bahawa beliau mahu belajar dari penduduk dan pengundi Kluang untuk membolehkannya memberi perkhidmatan yang terbaik sebagai wakil rakyat.

“Selepas saya diberi mandat oleh rakyat di Parlimen Bukit Bendera dahulu, saya banyak belajar daripada pengundi-pengundi saya yang membolehkan saya faham dan tahu apa yang mereka mahukan. Bukan sahaja isu-isu tempatan, malah pengundi juga meminta saya membawakan isu-isu nasional di Parlimen” katanya kepada Roketkini selepas ceramah itu.

Beliau yakin jika “Melayu undi DAP, Cina undi PAS” – pendekatan yang bermaksud pengundi semua kaum tidak takut untuk memilih mana-mana calon Pakatan Rakyat – ia bukan sahaja dapat memenangkan Kluang, malah Pakatan akan Berjaya menubuhkan kerajaan yang baru.

Parlimen Kluang menampilkan  51 peratus pengundi kaum Cina manakala Melayu 38 peratus dan India hampir 10 peratus dalam kawasan yang mempunyai hamper 83,000 pengundi. BN menguasai kerusi itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurut Liew, beliau sanggup meninggalkan kerusi Parlimen Bukit Bendera yang dimenanginya dengan majoriti 16,000 undi dalam PRU 2008 untuk mengadu nasib di Kluang semata-mata mahu membawa harapan baru ke arah kerajaan yang bersih, prihatin rakyat dan tidak menindas.

“Dalam perjuangan kita tidak boleh memilih yang ‘selamat’ sahaja. Jika kita tak berdepan dengan halangan yang besar dengan strategi dan usaha yang baik, sampai bila-bila kita tak boleh bergerak maju,” katanya.  – Roketkini.com