Isu Semasa

Ke Piai – Bahagian 1: Kepayahan yang disenangi Oleh Mazir Ibrahim

ORANG tempatan hanya memanggilnya sebagai Piai, masyarakat ini sememangnya hidup dalam suasana yang tenang tanpa kebisingan yang menyakitkan telinga, pandangan yang merensa mata dan makanan yang memualkan perut. Dan itulah yang dinamakan desa, serba-serbi mendekati alam yang hijau yang berjalan menurut kehendak ilahi.

Namun demikian, di sebalik ketenangan dan keharmonian yang terzahir terdapat beberapa gambaran lain yang sangat berbeza dengan lahirnya.

Bagi sekumpulan penziarah yang mengunjungi masyarakat setempat, kita akan mendengar beberapa bait kata-kata seperti

“ Biarlah kami hidup susah dan sengsara, asal UMNO terus menang ”.

Jika sepintas lalu kita mendengarnya, pasti kita akan menganggap individu atau kelompok masyarakat terbabit, seorang yang tegar UMNO. Maka tidak ada apa yang menghairankan bagi kita atau sesiapa saja.

Namun jika kita rajin meneliti ungkapan ini, pasti akan bertemu sesuatu yang agak luar biasa. Ayat sebegini bukanlah retorik politik oleh ahli politik, ayat ini datang daripada mulut rakyat biasa seperti kita yang menurut persepsinya, mereka ini hidup dalam suasana damai, aman dan hidup senang dengan serba-serbi mencukupi.

Nadanya terkandung rasa bersalah, rasa rendah diri dan putus asa. Mengapakah seseorang yang mendakwa selama ini sudah senang dan hidup bahagia mempunyai daya fikir sebegitu defensif? Tidak ada rasa kebanggaan langsung. Sebaliknya nada suara ‘orang kecewa dan kalah’.

Ini suatu realiti yang sangat ironi. Inilah gambaran yang jelas tentang pemikiran yang pernah diindoktrinasikan oleh sesuatu pihak. Maka persoalan ini barangkali hanya UMNO yang mampu menjawabnya.

Kemudian kita akan bertemu dengan satu kisah benar dalam masyarakat setempat. Seorang yang beberapa waktu menjawat jawatan sebagai penganggur, telah bergiat cergas dengan cawangan UMNO. Difahamkan pada ketika itu, apa saja yang ketua cawangan inginkan, pasti akan ditunaikan.

Jika UMNO berkehendakkan ikan puyu, maka ikan puyulah yang akan timbul. Jika semak lalang yang tumbuh, maka akan teranglah kawasan itu menjadi padang (hingga jadi padang jarak padang terkukur).

Inilah ‘walak’ bagi penganggur ini. Dan, ini juga tidak menghairankan kita kerana sifat seseorang yang terdesak untuk mencari nafkah, akan taat dan sanggup bekerja dengan gigih dan rajin. Itu petanda yang amat baik bagi insan terbabit, sesuai benar dengan gaya hidup masyarakat dalam satu kawasan dengan suasana aman bahagia serba mencukupi.

Namun apa yang berlaku selepas itu juga ironi. Setelah sekian lama membanting tulang dan bersama berjuang dalam UMNO, insan ini mendapat kerja tetap, juga dari ehsan UMNO.

Sejak bekerja tetap maka keadaan berubah, bukan saja pada insan ini tetapi juga parti yang membantunya. Semua tanggungjawabnya kepada parti, kini ditinggal bontang. Sejak itu beliau tidak langsung membantu UMNO.

Di peringkat ini, gambaran yang mungkin kita lihat seolah-olah insan itu mengkhianati UMNO yang memberi beliau makan dan hidup dengan berpaling kepada parti pembangkang. Hakikatnya tidak, setelah berubah, insan ini bukan saja tidak mempedulikan UMNO, malah parti pembangkang juga tidak dipedulikan. Maka ini apa maknanya?

Individu ini pentingkan diri sendiri? Mungkin ya mungkin tidak. Jika ‘ya’ atau ‘tak’ pasti bersebab.

Individu ini lupa diri? Mungkin ya mungkin juga tidak. Ini juga punya sebab tertentu.
Tetapi gambaran yang dapat kita rumuskan dengan lebih jelas lagi adalah, persepsi yang dibina oleh UMNO mengenai kawasan ini sebagai satu kawasan aman dan bahagia hanyalah ilusi.

Ya, bagi sesetengah penduduk yang sudah mempunyai aset (harta warisan) atau penghidupan seperti tanah dan rumah, mungkin tidak merasa perlunya ‘perubahan politik’.
Tetapi bagi kebanyakan insan lain apatah lagi yang muda-muda, mereka tidak banyak pilihan untuk membina hidup seperti yang dicita-citakan melebihi hidup yang dicapai orang lain dan ibu bapa mereka.

Bagi golongan ini, perjuangan untuk hidup memaksanya menjadi hipokrit. Adakah mereka bersalah? TIDAK.

Bagi sesetengah daripada mereka yang memasang impian untuk membina hidup lebih baik, mereka terpaksa keluar ke bandar besar baik di Johor Bharu, Kuala Lumpur hatta hingga ke Singgapura (negara yang selalu dimomokkan UMNO sebagai negara yang menindas kaum Melayu).

Bagi kaum Cina tempatan, mereka yang bekerja di Singapura pula pastilah akan dianggap sebagai tidak patriotik dan macam-macam cop mohor hina/negatif yang lain. Tetapi bagi anak watan yang berbangsa Melayu yang bekerja di Singapura tidak pula di cop sebegitu rupa sebaliknya ada segelintir yang rasa ‘bangga’ bila anaknya merantau ke negeri ‘Cina’ walaupun hanya bekerja sebagai pencuci di restoran biasa.

Bukan nak menghina kerja orang, tetapi mentaliti dan persepsi prejudis sebegini sememangnya salah.

Bagi masyarakat setempat, inilah realiti yang mereka hadapi seharian sejak sekian lama. Kepayahan ini dibiarkan, kemudian ‘kepayahan’ ini terbalik menjadi sesuatu yang ‘disenangi’ dan diterima dengan redha oleh mereka tanpa apa-apa perasaan.

Inilah projek mega UMNO untuk mereka terus kekal berkuasa, mereka mahu rakyat bergantung kepada mereka setiap masa, jika ada rakyat meminta lebih keadilan, rakyat akan dituduh tidak pandai berdikari. Ini satu lagi ironik dan akhir kepada budaya ini akan menjadikan bangsa kita sebagai bangsa yang hipokrit.

Hakikatnya, rakyat tahu jika mereka terus bergantung kepada UMNO, mereka tidak akan ke mana-mana dan takkan menjadi kaya-raya. Sebaliknya akan hidup dengan hanya cukup dengan apa yang ada. Tiada nafsu untuk bersaing dengan orang lain, naluri sebagai manusia untuk berkembang maju ke hadapan telah ‘dibunuh’.

Nilai sebagai seorang muslim yang dinamik ‘terpadam’. Malah UMNO juga sedar akan ‘malapetaka’ ini.

Inilah kepayahan yang dicipta dengan cukup indah bagi masyarakat setempat agar terus kekal dengan ilusi indah, nyaman dan damai. Bukan untuk rakyat tetapi untuk elit UMNO dan sekutu elitnya dalam MCA dan lain-lain. – Roketkini.com