Isu Semasa

Tiga sebab rakyat Johor perlu undi Pakatan Rakyat pada PRU-13

GELANG PATAH, 1 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yakin angin perubahan akan bertiup kencang di Johor sehingga negeri itu tidak lagi menjadi negeri ‘deposit tetap’ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau memberikan tiga sebab iaitu pertama berdasarkan perubahan besar sebelum ini sehingga parti pembangkang bertapak dan tidak mustahil akan memenangi majoriti kerusi dan memerintah Johor.

Katanya, perkara yang sama berlaku di Selangor pada 2008 apabila pembangkang yang menggabungkan PKR, PAS dan DAP memenangi 17 daripada 22 kerus Parlimen dan 35 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dan memerintah negeri itu berbanding hanya memenangi enam daripada 48 kerusi negeri pada 1995 hingga 2004.

Bilangan kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi pembangkang (1995-2008)

“Tidak ada sebab apa yang berlaku di Selangor pada 2008 tidak boleh berlaku di Johor pada PRU-13 nanti. Walaupun PR gagal memenangi majoriti kerusi parlimen dan negeri, memadai dengan memenangi sekurang-kurangnya satu pertigga kerusi di negeri itu,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 10 Hari Ke PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, DAP juga melihat perubahan corak pengundian di Johor sebelum ini (1999 dan 2008), tetapi magnitud perubahan tidak cukup besar, tetapi yang pentingnya sokongan terhadap BN di Johor menurun daripada 76% pada 1995 kepada 73% pada 1999 dan jatuh 10% lagi pada 2004 kepada 65% pada 2008.

Menurutnya, rakyat Johor hilang peluang untuk menghantar isyarat jelas kepada BN pada 1999 dan 2008 dan yakin mereka tidak akan mempersiakan peluang ketiga untuk berbuat demikian pada PRU-13 nanti.

“Johor mengalami peningkatan ketara bilangan pengundi baru, kebanyakannya pengundi muda pada PRU 2008 iaitu yang kedua tertinggi jumlah pengundi selepas Selangor. Peningkatan pengundi baru dan mereka yang berpindah ke Johor selepas ditolak mereka yang meninggal dunia dan yang berpindak dari Johor) hampir 300,000 daripada 1.3 juta pada PRU 2008 kepada 1.6 juta sekarang.

“Bilangan pengundi baru berdaftar meningkat sebanyak 450,000 dan mereka akan mengundi mengikut realiti baru politik hari ini yang akan menentukan parti mana yang akan mentadbir di Putrajaya dan memerintah Johor,” katanya.

Beliau yakin majoriti mereka akan mengundi untuk perubahan iaitu Pakatan Rakyat untuk masa depan rakyat Johor dan rakyat Malaysia yang lebih baik dan cerah.

Kit Siang berkata, walaupun sudah terlalu lama rakyat Johor membenar BN memerintah, beliau yakin pada PRU-13 nanti mereka tidak lagi akan membenarkan BN kekal bertapak di negeri itu.

Johor, negeri kelahiran Kit Siang itu boleh dikatakan negeri yang paling penting di Semenanjung Malaysia pada PRU-13 nanti. Bukan sahaja mempunyai bilangan kerusi Parlimen paling banyak iaitu 26, juga sebuah negeri yang BN tidak lagi boleh menyapu bersih semua kerusi Parlimen dan negeri. – Roketkini.com