Berita

Akibat taksub, UMNO tak boleh terima bila wakil DAP bela Melayu

PETALING JAYA, 2 APRIL: Akibat celaru dan taksub dengan konsep ‘ketuanan Melayu’, membuatkan UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak boleh menerima hakikat apabila ada orang bukan Melayu membela nasib orang Melayu yang hidup dalam kesusahan.

Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat daripada ucapan Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran yang menyuarakan masalah sebuah kampung Melayu di kawasan yang diwakilinya.
.
“Kampung Bahagia itu sering dilanda banjir, bila saya suarakan di Parlimen, saya katakan kamu, UMNO, tak boleh jaga bangsa sendiri, mereka melenting dan beritahu saya “Ini Melayu punya hal jangan campur!” kata beliau dalam satu majlis makan malam, di sini.

Menurut Mano, penduduk kampung bukan saja sering berhadapan dengan masalah banjir tetapi juga masalah kemiskinan.

Beliau kemudian menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke sebuah rumah milik seorang warga emas yang menyuruhnya “naik tangga rumah perlahan-lahan sebab boleh runtuh”.

“Perkara ini amat menyedihkan. Saya berasa amat hairan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan membela orang Melayu, tetapi adakah ini mencerminkan realiti sebenarnya? Adakah ini sesuatu yang boleh kita banggakan? Tapi wakil rakyat UMNO tak boleh terima apabila kita bangkitkan perkara itu di Parlimen.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya adalah wakil rakyat untuk semua kaum. Ini prinsip DAP. Saya akan bersuara bagi komuniti Melayu yang tertindas, saya akan bersuara jika nasib yang sama menimpa masyarakat Cina, India dan komuniti lain di negara ini,” tegas beliau sambil menyifatkan dasar perkauman yang diamalkan UMNO menyebabkan masyarakat negara ini berpecah belah.

Sehubungan itu, Manogaran turut membangkitkan masalah sosial yang berlaku di kalangan masyarakat India akibat tekanan ekonomi dan keciciran.

“Kita biasa lihat dan dengar, wujud banyak kumpulan samseng di kalangan komuniti India. Siapa yang bertanggungjawab?” soal beliau disambut dengan laungan “MIC” oleh hadirin.

Tambahnya, masalah ekonomi dan sosial yang berleluasa mengakibatkan ramai di kalangan komuniti itu yang terbabit dalam jenayah.

“Kini sekitar 40 peratus banduan yang dipenjarakan terdiri daripada komuniti India dan tidak menghairankan apabila ada kenyataan yang berkata bahawa masyarakat India negara ini adalah paling ketinggalan mendapat bantuan kebajikan,” katanya di hadapan sekitar 900 orang hadirin.

Justeru, beliau mahu seluruh rakyat Malaysia sedar bahawa dasar pemerintahan UMNO-BN berasaskan ‘pecah dan perintah’ dengan amalan perkauman, diskriminasi dan rasuah yang tidak terkawal adalah antara punca utama kepada pelbagai isu yang timbul.

“Kita perlu ubah suasana itu. Malaysia perlu satu wacana politik baru yang lebih adil dan terbuka. Buat masa ini, kita percaya, PR mampu untuk mengubah suasana politik negara kita ke arah yang lebih baik,” katanya.-Roketkini.com