Berita

Kit Siang tak tanding DUN, DAP letak calon muda di Johor Jaya

JOHOR JAYA, 2 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menafikan khabar angin yang beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya selain Parlimen Gelang Patah, Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Katanya, beliau ingin menjelaskan perkara itu bahawa beliau tidak pernah berniat untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN di Johor, termasuk Johor Jaya, kerana DAP sudah mempunyai calon paling sesuai untuk bertanding di kawasan itu.

Menurutnya, Liow Cai Tung, 27, seorang Pengurus Produk yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY adalah calon DAP yang dipilih bertanding di DUN Johor Jaya, dalam Parlimen Pasir Gudang.

Ahli Majlis Eksekutif DAPSY itu adalah calon yang dipilih DAP untuk bertanding di DUN Johor Jaya, dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang.

“Liow yang juga Ahli Majlis Eksekutif DAPSY yang berusia 27 tahun dan saya berusia 72 tahun, tetapi “7227” adalah perkongsian yang melambangkan kekuatan sebenar dan bersemangat yang menyatukan kebijaksanaan, pengalaman, semangat dan tenaga semua kumpulan umur untuk membawa keadilan, kebebasan, daya saing dan kemakmuran negara dan semua rakyat Malaysia.

“Saya tidak ragu kerana Liow mampu menjadi Adun PR Johor Jaya yang cemerlang jika beliau menerima sokongan penuh pengundfi kawasan itu.

“Saya akui bahawa kerusi DUN Johor Jaya belum diputuskan Pakatan Rakyat, walaupun DAP berusaha untuk bertanding di tiga atau empat lagi kerusi selaras dengan pengagihan satu pertiga daripada 56 kerusi di Johor,” katanya berucap ketika melawat Taman Johor Jaya, pagi semalam.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menggesa semua pihak, samada dalam DAP atau Pakatan Rakyat mengelak daripada membuat komen mengenai perebutan kerusi, sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan PR untuk membuat keputusan muktamad.

Katanya, yang penting PR perlu mengalahkan UMNO/ BN pada PRU-13 nanti dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru bagi menamatkan rasuah berleluasa, kronisme, ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa selama 56 tahun diperintah UMNO/BN.

Menurutnya setakat ini kepimpinan PR membuat keputusan beliau meninggalkan kerusi selamat, Ipoh Timor yang dimenangi dengan majoriti lebih 21,000 undi untuk bertanding di Gelang Patah, yang dimenangi MCA / BN dengan majoriti 9,000 undi pada PRU 2008 kerana mahu mencetuskan “tsunami politik” yang besar di Johor untum menuju ke Putrajaya.

“Saya berharap PR akan memenangi PRU-13 dengan memenangi 125 kerusi Parlimen yang diagihkan kepada tiga parti komponen PR iaitu PKR dengan 45 kerusi, manakala DAP dan PAS, masing 40 kerusi.

Bagi Johor, pengagihan 26 kerusi Parlimen bermakna masing-masing akan bertanding lapan atau sembilan kerusi.

Pada PRU 2008, DAP bertanding di enam kerusi Parlimen iaitu Kulai, Kluang, Bakri, Labis, Segamat dan Tanjong Piai dan pada PRU-13, DAP turut bertanding di Gelang Patah.-Roketkini.com