Isu Semasa

SPR akui wujud keraguan dalam daftar pemilih tapi “tak boleh buat apa-apa”

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pendedahan DAP sebelum ini melibatkan keraguan pada daftar pemilih terbukti apabila Ketua Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Selangor, Zulkifli Abdul Rahman sendiri mengakui bahawa wujud perkara di luar kawalan mereka dalam daftar pemilih negeri itu.

Demikian kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pada sidang media di Pejabat SPR Negeri Selangor selepas membuat susulan terhadap aduan seorang bapa, Siva Kumar S Khatiramalai apabila mendapati anaknya, Dinesh Siva Kumar, 33, yang berada di United Kingdom didaftar sebagai pemilih tanpa pengetahuan pihaknya oleh seorang Penolong Pendaftar UMNO, Hishamuddin Kassim.

“Yang menarik perhatian kita apabila pegawai tinggi SPR itu mendedahkan bahawa Hishamuddin Kassim telah “banyak” mendaftarkan nama sebagai pemilih.

“Tetapi menurut SPR lagi, Penolong Pendaftar UMNO itu telah ditamatkan perkhidmatannya pada 24 April tahun lepas,” katanya kepada pemberita.

Kedatangan Charles bersama pengadu dan peguam ke pejabat SPR hari ini untuk mengeluarkan nama Dinesh yang didaftarkan secara ‘haram’ dalam daftar pemilih. Walaubagaimana pun, permohonan mereka tidak berjaya.

“Mereka berlindung dibalik Seksyen 9A (Akta Pilihanraya) yang menyatakan bahawa setiap nama yang telah diwartakan tidak boleh dikeluarkan dari senarai pemilih, tetapi apa yang berlaku kepada Dinesh nampaknya telah melanggar undang-undang,” jelasnya.

Charles turut melahirkan kehairanan bagaimana pula nama ‘Papagomo’ boleh dikeluarkan daripada senarai pemilih sedangkan tidak bagi kes ini.

“Jawapan yang diberikan kepada kita ialah kes blogger UMNO Papagomo itu berbeza.

“Apa yang jelas, SPR sendiri tahu berlakunya keraguan dalam senarai pemilih. SPR tahu wujudnya salah guna kuasa tapi mereka tidak mampu baiki keadaan itu,” kata Charles.

Selain permohonan mengeluarkan nama Dinesh dari senarai pemilih, Charles dan pihak pengadu turut meminta salinan Borang A orang yang didaftar tetapi mereka dimaklumkan bahawa borang berkenaan sudah dihantar ke SPR Putrajaya.

“Mereka juga tidak menyimpan salinan permohonan itu. Kita diberitahu bahawa urusan untuk mendapatkan salinan Borang A dan penjelasan SPR dari Putrajaya akan memakan masa tempoh seminggu,” ujar beliau.

Charles juga dimaklumkan pegawai SPR bahawa jika isu ini tidak dapat diselesaikan sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, tugas untuk memastikan agar nama yang didaftarkan secara haram itu tidak digunakan ‘orang lain’ diserahkan kepada ejen pengundian, PACA.

“Mereka kata kalau didapati ada orang lain menggunakan nama itu untuk mengundi, pegawai PACA boleh bertindak. Ini betul-betul mengarut sebab kes macam ini sudah banyak kali dilaporkan,” katanya.

Pada 31 Januari lalu satu laporan polis dibuat Siva Kumar di Balai Polis Klang dan beliau membuat keputusan untuk mengetengahkan perkara itu kepada umum apabila tiada tindakan pihak berkenaan. – Roketkini.com