Rencana

Pojok: Anak Mami di Perantauan – Kenapa bubar semalam?

SEMALAM suami Rosmah Mansor umum bubar Parlimen. Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengumumkan Parlimen dibubar pada tarikh 3 April 2012. Pewaris kerajaan Abdullah Badawi itu betul-betul sebut tahun 2012. Dengan wajahnya yang pucat dan tidak tersenyum, Najib Razak kelihatan terpaksa.

Semalam 3 April 2013. Takkanlah Parlimen dah bubar setahun, kita baru tahu semalam?

Begitu terpaksa sehingga tersalah sebut? Tidak mungkin dia salah sebut. Ucapannya bukan disebutkan secara bersahaja. Ucapannya siap tertulis di depan mata. Betul-betul bawah kamera pada ‘teleprompter’. Tidak Najib tidak hafal ucapan pembubaran Parlimen, dia baca. Bagaimana pula dia boleh tersalah baca apa yang tertulis di teleprompter.

Mungkin ada hantu yang ubah tarikh pada teleprompter untuk bergurau senda. Itu kita tidak tahu. Tapi kita boleh andaikan bahawa Najib Razak sebenarnya memang belum bersedia untuk melepaskan jawatannya. Sebab itu saya tanya, ‘kenapa semalam?’

Semalam, 3 April 2013 bukanlah tarikh yang dipilih Najib Razak. Kalau mengikut kalendar Cina, semalam bukanlah tarikh yang baik untuk Najib Razak. Menurut gambar kalendar Cina yang tersebar luas di laman sosial, 3 April 2013 ialah hari paling teruk untuk tahun ini, terutamanya untuk yang lahir pada tahun ular dan khinzir. Malah disarankan pula agar jangan dikerjakan perkara penting pada hari berkenaan.

Ini kelakar. Najib Razak pastinya mempunyai penasihat berketurunan Tionghua yang akan menasihatinya agar tidak melakukan pembubaran pada hari yang sial ini, supaya tidak diketawa sekalian masyarakat Cina.

Jadi adakah 3 April ini tarikh yang dipaksa oleh seseorang?

Mungkin seseorang yang tidak sanggup menanggung malu kerana berjanji bahawa Najib Razak tidak akan menunggu sehingga Parlimen terbubar sendiri kepada penyokongnya dua hari sebelum itu?

Barangkali yang seseorang ini marah kerana dengan tiba-tiba Najib Razak mahu pergi umrah dan tak bawa dia sekali. Barangkali juga dia marah kerana Najib Razak sudah khabarkan kepada Chua Soi Lek bahawa ‘masih ada banyak masa untuk bubarkan Parlimen’.

Barangkali juga dia sengaja memaksakan tarikh itu kepada Najib kerana hari berikutnya (hari ini, 4 April) genaplah 14 tahun usia Parti Keadilan Rakyat yang diketuai teman rapatnya di dalam UMNO dahulu?

Jadi kenapa semalam?

Adakah Najib Razak sudah betul-betul bersedia, tidak larat menunggu atau adakah ada manusia yang tidak sabar-sabar lagi menggantikannya jadi Perdana Menteri kalau BN menang lagi dengan majoriti lebih rendah?

Cuba tonton sekali lagi video ucapan pembubaran dan lihat wajah riang timbalan Najib Razak yang jarang-jarang senyum itu.

Pastinya bukan senyuman riang kerana menggagalkan niat Najib Razak untuk menunaikan umrah. – Roketkini.com