Berita

Bantahan bukti BN tentang pilihan raya kerajaan tempatan

GEORGE TOWN, 5 APRIL: Bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membenarkan 1.6 juta rakyat negeri itu memilih ahli majlis sendiri membuktikan Barisan Nasional (BN) menentang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dan Demokrasi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Najib telah merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk membantah permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bekas Presiden Aliran P Ramakrishnan.

Katanya, kerajaan negeri dan Ramakrishnan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan bahawa Pelembagaan Negeri Pulau Pinang diberi hak untuk membenarkan pengundi Pulau Pinang untuk memilih Ahli Majlis Tempatan sendiri.

“Permohonan itu adalah selaras dengan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 2012 (Pulau Pinang dan Seberang Perai) sepertimana yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei 2012.

“Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih Ahli Majlis Tempatan selama lebih satu dekad antara 1951 dan 1965, apabila pilihan raya kerajaan tempatan terpaksa digantung kerana Konfrontasi Indonesia.

“Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman ketika itu telah berjanji kepada Dewan Rakyat bahawa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan akan dipulihkan apabila Konfrontasi itu berakhir,” katanya dalam kenyataan media, di Komtar, hari ini.

Menurut Tunku Abdul Rahman, sebaik sahaja keamanan dan ketenangan pulih kembali persiapan untuk pilihan raya kerajaan tempatan akan dadakan segera.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Konfrontasi dengan Indonesia berakhir pada 1966. Selama 47 tahun kita menunggu janji itu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bagi membenarkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Katanya, pada 29 Mei ini, seorang hakim Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan kerajaan negeri dan Ramakrishnan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan untuk memfailkan petisyen bagi mencabar Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang menghalang mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

“Sekiranya berjaya, petisyen itu akan didengar di hadapan barisan hakim Mahkamah Persekutuan bagi menjalankan bidang kuasa asalnya mengikut Perkara 128(1) pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Disebabkan bantahan Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 Mei ini, selepas Pilihan Raya Umum ke-13 untuk mendengar permohonan kebenaran itu.

“Sekiranya Pakatan Rakyat menang majoriti di Parlimen Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ini, kita akan menarik balik bantahan daripada Kerajaan Persekutuan terhadap kes ini dan mengambil langkah untuk memperkenalkan semula demokrasi tempatan di Malaysia dengan memansuhkan larangan Persekutuan terhadap Pilihan Raya Kerajaan Tempatan,” katanya.

Menurut beliau, hasrat Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang untuk memulihkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan adalah berdasarkan kepercayaan terhadap demokrasi, dalam sistem kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Katanya, kerajaan negeri percaya pengabaian selama 18 tahun yang ditanggung Pulau Pinang boleh dipersalahkan di atas sistem lantikan politik Ahli Majlis oleh Kerajaan Negeri BN, di mana MPSP hampir menjadi bankrap setelah ketirisan sebanyak RM230 juta sebelum 2008.-Roketkini.com