Isu Semasa

Guan Eng tekad jadikan Pulau Pinang negeri pintar bertaraf antarabangsa

GEORGE TOWN, 5 APRIL: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertekad mahu menjadikan Pulau Pinang Nombor Satu di Malaysia sebagai negeri pintar dan bertaraf antarabangsa jika rakyat terus memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat memerintah lima tahun lagi.

Sehubungan itu, katanya, PR menawarkan visi masyarakat majmuk yang bersatu dan madani serta menghormati pelbagai hak asasi dan percaya PR mempunyai idea yang lebih bernas, idealisme yang lebih kukuh, prinsip yang telah diuji masa dan dasar berjiwa rakyat untuk menjaminkan masa depan generasi akan datang.

Oleh itu, beliau yang juga Pengerusi PR Pulau Pinang berkata, marilah kita pastikan persaingan masa depan Pulau Pinang tidak menjadi pertarungan antara siapa yang lebih pandai memfitnah, membenci atau mengugut, sebaliknya menjadi pertarungan yang mulia antara idea, ideal, prinsip dan dasar berjiwa rakyat.

“Kami percaya bahawa banyak lagi yang boleh dicapai. Jika anda dapat rasakan dalam lima tahun ini Pulau Pinang mencatat prestasi yang baik, maka pastinya lima tahun yang akan datang akan menjadi lebih baik. Sesungguhnya Pulau Pinang layak menerima yang terbaik.

“Oleh itu, marilah kita menuju kebebasan yang sebenarnya iaitu kebebasan daripada kejahilan, kebebasan daripada rasuah dan kronsima, kebebasan daripada kemiskinan dan kebebasan daripada ketakutan,” katanya berucap ketika membubarkan DUN Pulau Pinang di Komtar, hari ini.

Guan Eng berharap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada hari ini (Jumaat) iaitu penghulu segala hari akan membawa rahmat kepada semua dan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berjalan secara aman tanpa diganggu kebencian dan keganasan.

Bagi pihak Pakatan Rakyat (PR) beliau juga berdoa sekiranya berlaku perubahan, pemindahan kuasa akan berjalan secara teratur dan tenteram dan berjanji serta menjamin akan menyerahkan kuasa di Pulau Pinang dengan lancar sekiranya PR tidak berjaya dalam pilihan raya besar itu nanti.

Selain itu Guan Eng meminta maaf kepada semua penduduk di sekitar Komtar kerana hampir setiap minggu diganggu kumpulan kecil daripada Perkasa dan penyokong BN yang menyalahgunakan kebebasan berhimpun dengan membuat demonstrasi secara ganas dan biadab.

Menurutnya, PR yang diberi penghormatan memikul amanah pentadbiran negeri selama lima tahun mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas kepercayaan rakyat pada PRU 2008 lalu.

“Lima tahun lalu pada 8 Mac 2008, rakyat Pulau Pinang mencetuskan tsunami politik yang membawa perubahan kuasa kepada PR. Sejak itu, banyak yang kita capai bersama. Pulau Pinang sudah pulih daripada kemerosotan yang berlarutan dan kini kembali sebagai negeri peneraju di negara ini.

“Kerajaan Pulau Pinang adalah yang paling bersih di Malaysia, berikutan pengiktirafan Transparency International serta Laporan Ketua Audit Negara yang memuji sistem tender terbuka, lebihan belanjawan tahunan serta pengurangan hutang 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta. Satu lagi pencapaian cemerlang adalah kejayaan menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai yang hampir bankrap setelah ketirisan sebanyak RM230 juta sebelum 2008. Pada masa yang sama, kami juga berjaya meningkatkan aset negeri sebanyak 50% daripada RM800 juta pada 2008 kepada RM1.2 bilion sekarang,” katanya.

Guan Eng berkata, kejayaan itu adalah hasil tadbir urus yang berasaskan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus dan antara dasar yang diperkenalkan adalah sistem tender terbuka kompetitif, menghalang ahli keluarga pemimpin negeri daripada berurus niaga dengan kerajaan negeri, pengisytiharan harta secara terbuka oleh barisan EXCO serta Ketua Menteri dan pendedahan kontrak kerajaan untuk penelitian umum.

Beliau berkata, CAT telah membolehkan Pulau Pinang berjaya menarik jumlah pelaburan yang paling besar di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah, bukan sekali tetapi dua kali pada 2010 dan 2011.

Katanya, sepanjang tempoh lima tahun lalu iaitu daripada 2008-2012, Pulau Pinang mencatat pelaburan berjumlah RM36.1 bilion iaitu 100% lebih baik daripada pelaburan sebanyak RM18.7 bilion dalam tempoh lima tahun sebelum itu iaitu dari 2003-2007.

“Kini Pulau Pinang adalah negeri paling sesuai didiami di Malaysia dan yang kelapan paling sesuai didiami di Asia. Baru-baru ini, Pulau Pinang juga terpilih sebagai lokasi keempat paling baik di dunia untuk persaraan. Pengiktirafan itu adalah bukti Pulau Pinang sudah menjadi Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat,” tambahnya.

Guan Eng berkata, PR percaya kekayaan harus dikongsi secara saksama dengan rakyat dan bukan dengan kroni, sebab itu, kerajaan negeri mengagihkan lebihan belanjawan tahunan yang dicapai dalam bentuk bantuan tunai kepada sekolah dan individu seperti warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi baru lahir, penarik beca, pelajar universiti serta pelajar sekolah, semua program itu membabitkan perbelanjaan RM150 juta sejak 2008.

Beliau berkata, Pulau Pinang berjaya mencatat sejarah dengan pelancaran Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang berjumlah RM20 juta untuk menjadi negeri pertama di Malaysia menghapuskan kemiskinan dengan memastikan bahawa setiap isi rumah di Pulau Pinang mempunyai pendapatan minimum RM770 sebulan.

“Mana-mana keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM770 sebulan akan “ditambah nilai” oleh kerajaan negeri sehingga mereka mempunyai RM770.

“Pulau Pinang juga adalah negeri pertama memperuntukkan RM500 juta untuk pembinaan perumahan mampu milik. Kerajaan negeri juga membina hampir 4,000 unit sejak 2008 sementara sektor swasta menyumbang sebanyak 9,000 unit lagi dan untuk masa depan, kerajaan negeri bercadang membina 19,172 unit dengan tambahan 20,000 unit daripada sektor swasta,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga mengusahakan sistem pengangkutan awam yang berkesan dengan penawaran perkhidmatan bas percuma, bagaimanapun, pihak kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengangkutan awam menolak tawaran kerajaan negeri untuk membayar RM10 juta setahun untuk perkhidmatan bas percuma di seluruh negeri pada waktu puncak.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan tetapi terdesak untuk melaksanakan projek RM6.3 bilion untuk meleraikan trafik melalui tiga lebuhraya daripada Tanjung Bunga ke Teluk Bahang; Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu; Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu serta terowong bawah dasar laut yang akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam, Butterworth kerana tidak mahu anak-anak muda Pulau Pinang membesar sebagai generasi kesesakan trafik.

“Pulau Pinang kini dalam proses menjadi negeri hijau pertama di Malaysia dengan inisiatif hijau, seperti menjadi satu-satunya negeri yang mengamalkan kempen “Tiada Beg Plastik Percuma” serta mencapai kadar kitar semula yang paling tinggi di Malaysia iaitu 24%. Pulau Pinang juga ingin menjadi negeri basikal pertama di Malaysia dengan laluan basikal 200 kilometer.

“Di Pulau Pinang, rakyat tidak lagi takut sama kerajaan negeri macam dulu. Sekarang kerajaan negeri yang takut kepada rakyat. Kami memartabatkan Islam dengan meningkatkan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam hampir tiga kali ganda serta menubuhkan portfolio EXCO untuk Hal Ehwal Agama Bukan Islam.

“Pulau Pinang juga kini menjadi ibu kota kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia dengan Bandar Warisan Dunia UNESCO George Town yang bertaraf antarabangsa serta sambutan tahunan Festival George Town yang berjaya mengumpulkan penghibur, artis, penulis serta cendekiawan dari dalam dan luar negeri,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri juga berusaha memperkasakan suara rakyat melalui penubuhan Sudut Pidato yang pertama di Malaysia di Padang Kota Lama serta di Butterworth.-Roketkini.com