Berita

PRU-13: PR tolak politik benci, pupuk politik matang

DAMANSARA, 5 APR:
.
Justeru, adalah menjadi satu kewajipan rakyat Malaysia menuju politik baru yang mana negara dibebaskan daripada belenggu rasuah dan perkauman dengan kematangan masyarakatnya dalam politik, berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan demokrasi.

Dalam ucapannya, Naib Pengerusi PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, inilah perbezaan ketara yang wujud antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).

“Politik kita politik matang. Kita tidak benci pada individu, tapi kita benci apa yang mereka lakukan. Sebab itu kita akan ubah apabila mentadbir Kerajaan Persekutuan kelak,” katanya dalam satu majlis tertutup di sini.

Ahli Parlimen lembah Pantai itu berkata, PR mahukan sebuah kerajaan yang mendengar, telus dan meletakkan demokrasi di Malaysia ke tempat yang wajar.

“Kita mahu undang-undang didaulatkan. Kita mahu badan kehakiman tidak ada campur tangan politik.

“Justeru, hanya ada satu cara untuk kita mencapai hasrat itu iaitu dengan melakukan perubahan. Kita tak boleh buat tanpa reformasi politik,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San yang turut berucap berkata, suasana politik di Malaysia kini menunjukkan tanda-tanda besar kejatuhan kerajaan BN apabila mereka dilihat semakin ketandusan idea dalam banyak perkara.

“Ada orang kata macam di Selangor, kerajaan BN dan PR sama sahaja. Ini tidak benar.

“Bercakap mengenai dasar merakyatkan ekonomi negeri, kita (kerajaan PR) tidak ada defisit malah rizab kewangan negeri meningkat daripada RM400 juta kepada RM2.6 bilion hanya dalam lima tahun memerintah,” jelas beliau.

Lau Weng San kemudiannya menyeru agar rakyat Malaysia khususnya rakyat di Selangor menilai sendiri rekod pencapaian kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR dan mempertahankan negeri itu di bawah kerajaan PR dalam pilihan raya umum yang akan berlangsung bila-bila masa sahaja lagi.-Roketkini.com