Berita

Najib, Menteri Kabinet, ahli keluarga dicabar isytihar miliki syarikat luar pesisir

GELANG PATAH, 6 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan semua Menteri Kabinetnya mengisytiharkan secara terbuka samada mereka dan ahli keluarga memiliki syarikat luar pesisir secara rahsia seperti pendedahan eksklusif Malaysiakini, semalam.

Beliau berkata, jika Najib gagal berbuat demikian bermakna dia gagal dalam ujian sebelum ini sama ada serius dan ikhlas untuk meningkatkan akauntabiliti, ketelusan, integriti dan urus tadbir yang baik sebagai matlamat utama pentadbirannya.

Katanya, daripada fail yang diperolehi oleh Gabungan Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) yang berpangkalan di Washington dan diteliti Malaysiakini menunjukkan seramai 1,500 rakyat Malaysia memiliki syarikat luar pesisir – yang digelar Switzerland baru – di Singapura dan British Virgin Islands (BVI), syurga percukaian rendah.

Ahli politik dan koperasi yang memiliki syarikat luar pesisir termasuk anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin dan Michael Chia, yang pernah dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Senarai ICIJ terdiri daripada gabungan aneh jutawan yang disenarai Forbes, ahli parlimen, pesara politik, penjawat awam dan isteri mereka, kerabat diraja, ahli perniagaan terkenal dan tidak terkenal, kongsi gelap dan bekas ratu cantik.

“Walaupun beberapa syarikat luar pesisir menjalankan urus niaga sah, yang lain mungkin menjadi sebahagian daripada RM871.4 bilion aliran keluar wang haram dalam tempoh 10 tahun, seperti yang dianggarkan oleh pemantau kewangan yang berpengkalan di Washington, Global Financial Integrity (GFI).

“Pada 2010 sahaja, GFI melaporkan bahawa hampir RM200 bilion wang haram disalur keluar dari Malaysia dan meletakkan Malaysia negara kedua selepas kuasa ekonomi Asia, China,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.-Roketkini.com