Berita

Tidak mampu selesai masalah ekonomi, BN cedok manifesto Pakatan

KUALA LUMPUR, 7 APR: Manifesto Barisan Nasional yang dilancarkan dengan gilang gemilang semalam dan disiarkan melalui media kawalan mereka ternyata telah disalin terus daripada Manifesto Pakatan Harapan Rakyat Rakyat yang telah dilancarkan Februari lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini berkata persamaan tersebut boleh dilihat dengan melalui janji untuk menurunkan harga kereta, menambahkan anggota polis untuk memerangi jenayah, membina lebuhraya Pan-Borneo dan penyeragaman harga barang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

“Manifesto BN jelas mengabaikan masalah masalah makro-ekonomi 4d hutang (debt), defisit, penipuan dari rasuah (deceit) dan aliran keluar kepakaran (brain drain) yang akan membantut usaha untuk keluar dari perangkap pendapatan sederhana,” ujar beliau sambil membandingkan nilai KDNK per kapita Malaysia dengan Korea Selatan, yang kini mendahului Malaysia berbanding lima puluh tahun lalu.

Beliau turut menambah bahawa Malaysia sebenarnya juara dunia dalam aliran keluar modal haram, berdasarkan pemerhatian Global Financial Integrity yang berpusat di Washington.

“Malaysia telah menyaksikan aliran keluar modal haram RM872 bilion sepanjang 10 tahun dari 2001 hingga tahun 2010, di belakang Mexico RM1, 450 bilion dan China RM8, 360 bilion. Walau bagaimanapun, jika kita melihat statistik dari segi per kapita, Lebih 10 tahun dari 2001-2010, setiap rakyat Malaysia telah kerugian RM31, 000, manakala setiap rakyat negara China hanya kehilangan RM6, 400.”

“Daripada memberi pinjaman kepada petani yang menternak lembu, keluarga Menteri yang tidak pernah menternak lembu diberi RM 250 juta pinjaman yang disalahgunakan untuk membeli kondominium,” ujar beliau lagi.

Mahu Anwar jadi Perdana Menteri
Guan Eng turut menekankan masalah keterhutangan negara yang semakin bertambah teruk.

“Sehingga 31 Disember 2012, hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM 502 bilion yang merupakan peningkatan sebanyak 89% berbanding dengan akhir 2007 sebanyak RM266 bilion. Defisit juga semakin teruk. Kerajaan Persekutuan mengunjurkan defisit dalam Belanjawan 2012 sebanyak RM 59.7 bilion yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah Malaysia.”

Beliau memberitahu bahwa kali terakhir negara ini mempunyai belanjawan lebihan adalah pada tahun 1997 apabila Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Sejak tahun 1997, kita telah mengalami belanjawan defisit selama 15 tahun berturut-turut, itulah sebabnya kita mahu Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baru untuk memulihkan defisit tersebut menjadi belanjawan lebihan,” kata beliau sambil menyebut bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat pastinya mampu untuk mengubah nasib negara melalui pentadbiran yang bersih berdasarkan prinsip urustadbir yang cekap, akauntabel dan telus berbanding dengan apa yang dapat dilihat melalui apa yang terjadi dalam pentadbiran negeri Sarawak di bawah BN.

“Kita mempunyai Ketua Menteri Sarawak yang terlepas daripada hukuman bagi bukan sahaja kerana enggan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi juga mengutuk SPRM sebagai tidak jujur dan nakal,” ujarnya.

“Kecuali jika manifesto BN menangani isu-isu 4D hutang (debt), defisit, penipuan daripada rasuah (deceit) dan aliran keluar kepakaran (brain drain), “Menepati Janji Membawa Harapan” BN hanyalah sebuah janji kosong,” tegas beliau. – Roketkini.com