Berita

Mahdzir Ibrahim calon DAP bagi Parlimen Tanjong Piai

PONTIAN, 8 APR: Penyelaras laman web Roketkini.com, Mahdzir Ibrahim, 37, diumumkan sebagai calon pilihanraya umum DAP bagi kawasan Parlimen Tanjong Piai di Johor.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di sini malam tadi.

Sorakan gemuruh mengiringi pengumuman Mahdzir Ibrahim, 37, sebagai calon pilihanraya umum Parlimen Tanjong Piai oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang malam tadi.

Pengumuman di hadapan lebih 1,000 hadirin di Taman Indah, Parit Mesjid di sini menaikkan lagi semangat jentera pilihanraya Pakatan Rakyat Johor khususnya jentera DAP negeri itu.

Mahdzir yang merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda DAP dalam ucapannya menekankan kepentingan perpaduan semua kaum di Malaysia sambil menegaskan bahawa rakyat Malaysia sudah bijak dan tidak mahu lagi ditakut-takutkan dengan mainan sentimen perkauman sempit UMNO-Barisan Nasional.

“DAP sudah terbukti berjuang untuk semua kaum. Selama ini kita hanya dibohongi BN dengan macam-macam dakwaan dan fitnah. MCA tipu Cina, UMNO tipu Melayu, MIC tipu India.

“Kita perlukan perubahan politik, kita perlukan perubahan untuk Malaysia yang bersih, berintegriti dan telus,” kata beliau yang juga Ketua Biro Pakatan Rakyat DAPSY.

Mahdzir adalah anak kelahiran Johor yang gigih bergiat dalam bidang seni muzik dan kebudayaan. Beliau pernah menjadi perunding dan jurulatih muzik di sebuah kolej swasta.

Selain itu, Mahdzir juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Komunikasi di Sekretariat Belia Negeri Selangor setelah penubuhan kerajaan negeri baru selepas tsunami politik 2008.

Selepas itu, beliau memilih untuk menjadi Penyelaras Media Roketkini bagi membantu DAP menyebarkan maklumat dan fakta yang benar serta tepat melalui medium berbahasa Melayu tersebut..

Menurut Lim Kit Siang pula, BN tidak berkeupayaan untuk menerima perubahan politik dan persepsi rakyat Malaysia kerana rakyat telah mula sedar dengan mainan politik perkauman dan fitnah mereka.

“Mereka (BN) terpaksa meneruskan politik perkauman untuk terus memerintah. Kita perlu hentikan ini semua dan bersatu membawa perubahan tsunami politik 2008 ke Johor,” tegas beliau.

Dalam kerancakan majlis ceramah itu, sekumpulan pemuda dipercayai dari parti lawan membuat bising dengan membunyikan enjin motosikal mereka sebelum dihalau sendiri oleh hadirin yang datang.

Parlimen Tanjong Piai kini disandang oleh Wee Jeck Seng mewakili BN-MCA. Pada pilihan raya umum 2008, calon MCA itu menewaskan calon DAP, Ahmad Ton dengan kelebihan 12,371 undi. – Roketkini.com