Isu Semasa

Mahathir, hentikanlah politik benci kaum

Kenyataan dalam Sidang Media oleh Lim Kit Siang selepas melawat Pasar Peladang Skudai bersamma Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan bekas Speaker DUN Perak Siva Kumar pada hari Selasa 9 April 2013 jam 10 pagi.

Mahathir sepatutnya menjadi negarawan veteran yang bertanggungjawab dan berhenti menggunakan umpan kaum dan membangkitkan sentimen perkauman yang sangat bertentangan dengan konsep Bangsa Malaysia yang dicetuskannya dalam Wawasan 2020.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadi tukang kempen nombor satu untuk UMNO/Barisan Nasional dalam PRU ke-13, malah sehingga meletakkan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dalam kegelapan, seolah-olah Mahathir sedang berperang demi hayat politiknya sendiri.

Ini mungkin benar, memandangkan PRU ke-13 bukan hanya sebuah pertarungan hidup mati untuk kepimpinan Najib, malah ia kian membentuk menjadi pergelutan hidup dan mati untuk warisan 22 tahun kepimpinan Mahathir.

Inilah sebabnya kenapa Mahathir telah menjadi tukang kempen terhebat dalam PRU ke-13 dan saya tidak fikir beliau pernah berkempen sebegini gigih untuk UMNO dan BN walaupun untuk lima pilihanraya yang dipimpinnya sebagai Perdana Menteri sepanjang dua dekad, pada tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Mahathir berhak untuk berkempen bersungguh-sungguh demi menjaga warisan 22 tahun Mahathir, tetapi beliau mestilah bertanggungjawab, sebagai seorang negarawan veteran dan tidak terjerumus menggunakan taktik murahan dan tidak bertanggungjawab seperti menggunakan umpan perkauman dan membangkitkan sentimen perkauman yang jelas bertentangan dengan konsep Bangsa Malaysia yang dilaung-laungkannya dalam Wawasan 2020.

Saya berasa amat-amat kesal dengan tuduhan tidak berasas beliau bahawa kononnya perpindahan saya ke Gelang Patah adalah bertujuan untuk mencetuskan ketidakharmonian kaum antara orang Melayu dan Cina, dan dengan mencetuskan konflik perkauman, ‘Kit Siang mahu orang Cina mengundi DAP.’

Adalah amat tidak kena bagi Perdana Menteri keempat yang mentadbir selama 22 tahun untuk membuat tuduhan yang sedemikian liar, tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan sangat berbaur perkauman,

Saya telah menyatakan secara terbuka dalam siri ceramah DAP di Gelang Patah bahawa saya mahu menang di Gelang Patah bukan hanya dengan undi orang Cina malah saya mengharapkan undi orang Melayu dan India juga.

Malah saya menyeru pengundi Gelang Patah untuk mengundi sebagai sebuah Bangsa Malaysia, bukan sebagai orang Cina, Melayu atau India demi merealisasikan Impian Malaysia yang mencita-citakan warganegara yang bersatu padu seperti yang disebutkan oleh Pemimpin Agung Melayu Johor Datuk Onn Jaafar 61 tahun yang lalu, ketika presiden pengasas UMNO itu mencadangkan supaya UMNO membuka keahliannya kepada orang bukan Melayu, dan UMNO harus menukar namanya menjadi United Malayan National Organisation.

Meskipun Datuk Onn terlalu mendepani zamannya, Impian Malaysia itu tetap hidup subur dalam hati dan minda rakyat Malaysia untuk dekad mendatang, dan PRU ke-13 dalam tahun 2013 pada ulangtahun ke 56 negara ini, sangat moleklah di persimpangan ini dalam proses kita membina negara, untuk kita merealisasikan Impian Malaysia ke arah rakyat berbilang kaum yang bersatu-padu, walaupun berbilang bahasa, berbilang budaya dan berbilang agama; rakyat Malaysia komited ke arah satu tujuan untuk membina negara yang bebas, demokratik, progresif dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

Mahathir sepatutnya menjadi negarawan veteran yang bertanggungjawab dan berhenti menggunakan umpan kaum dan membangkitkan sentimen perkauman yang sangat bertentangan dengan konsep Bangsa Malaysia yang dicetuskannya dalam Wawasan 2020.

Lim Kit Siang