Isu Semasa

Najib dicabar patuhi akujanji integriti, henti guna kenderaan milik kerajaan

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Tidak ada guna bagi Datuk Seri Najib Razak menandatangani akujanji integriti atau membina mahkamah khas untuk mengendalikan kes rasuah jika beliau tidak mampu mengisytiharkan harta secara umum, tender terbuka secara kompetitif serta memulang dan berhenti menggunakan kapal terbang, helikopter serta kenderaan milik Kerajaan Malaysia.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata dalam manisfesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri Sementara itu berakujanji menentang rasuah dengan niat membina lebih banyak mahkamah khas bagi pendakwaan rasuah dan mendedah kepada umum mengenai kontrak kerajaan.

“Apa guna membina mahkamah khas untuk mengendalikan kes rasuah jika ia sekadar menjadi perhiasan dan wujudnya ‘double standard’ jika mereka berkedudukan tinggi tidak dihukum kerana melanggar undang-undang anti-rasuah.

“Kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas serangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud amat mengejutkan apabila dituduh tidak jujur dan ‘nakal’.

“Keengganan Abdul Taib bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan rasuah beliau adalah serius dan melanggar tugas dan tanggungjawab undang-undang kerana Mengikut Seksyen 47 dan 48 Akta SPRM 2009, keengganan memberi kerjasama kepada SPRM adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Penyandang Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kegagalan Najib mengambil tindakan terhadap Abdul Taib kerana kenyataan yang memalukan itu membuktikan beliau gagal menepati janji kononnya mahu bertindak tanpa sebarang rasa takut atau memihak.

Katanya, sebelum ini juga Najib memungkiri janjinya untuk meminta Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletakkan jawatan dan bersara.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada kejayaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membanteras gejala rasuah dengan lebihan RM150 juta dalam bentuk pemberian tunai dan peningkatan 55% dalam perbelanjaan pembangunan untuk membina infrastruktur asas.

Menurutnya, tambahan pula pentadbiran yang bersih menjadikan Pulau Pinang negeri pertama di Malaysia untuk membasmi kemiskinan tegar dan memastikan setiap isi rumah berpendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM770 sebulan.

“Keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM770 bakinya akan ditambahkan Kerajaan Negeri setiap bulan. Contohnya, jika satu keluarga itu berpendapat bulanan RM600 akan menerima tambahan RM170 sebulan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, rasuah menyebabkan 28 juta rakyat Malaysia menjadi rakyat ekonomi kelas ketiga, sedangkan rakyat ekonomi kelas pertama adalah pemimpin BN manakala kelas kedua ialah kroni dan pengikut BN.

“Orang Melayu menjuadi warga ekonomi kelas ketiga kerana skandal kewangan seperti skandal saham Bumiputera bernilai RM52 bilion. Saham bernilai RM54 bilion diperuntukkan kepada Bumiputera namun tidak seorang pun orang Melayu biasa atau Bumiputera dari Sabah dan Sarawak yang menerima walau satu saham, dan kini hanya tinggal saham bernilai RM2 bilion. Sehingga kini, kerajaan BN enggan menyiasat kehilangan saham Bumiputera bernilai RM52 bilion itu.

“Pakatan Rakyat berjanji apabila diberi mandat memerintah nanti, suatu siasatan terperinci akan dilaksanakan ke atas mereka yang bertanggungjawab dan saham itu akan dikembalikan kepada orang Melayu dan Bumiputera miskin di Malaysia Timur.

“Orang Cina juga menjadi warga ekonomi kelas ketiga, dengan terpaksa memberi dana kepada sekolah Cina ketika Menteri MCA dan pemimpin BN lebih berminat dengan skandal Port Klang Free Trade Zone (PKFZ) bernilai RM13.85 bilion. Manakala kaum India menjadi warga ekonomi kelas ketiga dengan skandal MAIKA yang masih tidak selesai. Siasatan penuh terhadap skandal itu pasti akan dilaksanakan demi memulangkan semula wang ini kepada komuniti Cina dan India yang terbabit,” katanya.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak adalah dua negeri paling kaya sumber asli di Malaysia, turut memiliki kadar kemiskinan tertinggi kerana pemimpinnya lebih berminat memperkayakan diri sendiri dan ahli keluarga.

Katanya, pendedahan aliran keluar wang haram bernilai RM871 bilion antara tahun 2001 dan 2010 oleh pemerhati kewangan yang berpusat di Washington, Global Financial Integrity pada 2012 menunjukkan bagaimana rakyat menanggung kerugian disebabkan ketirisan itu iaitu RM31,000 bagi setiap seorang rakyat Malaysia.- Roketkini.com