Isu Semasa

Guan Eng anggap Rais mempermainkan demokrasi

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mempermainkan demokrasi dan institusi awam apabila menyatakan kerajaan sementara berhak mengguna jentera kerajaan selagi belum bermula waktu kempen.

Katanya, keengganan BN memulangkan kapal terbang, helikopter dan kenderaan milik kerajaan membuktikan mereka akan memberi fokus kepada 3M iaitu Media, Wang (Money), Jentera (Machinery) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Menurut Rais, hanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pencalonan dan hari mengundi iaitu jangka masa kempen baru jentera kerajaan tidak boleh digunakan untuk tujuan parti politik.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini bahwa tiga kenderaan milik Kementerian Penerangan diguna untuk membantu majlis pelancaran pusat gerakan pilihanraya BN di kawasan Parlimen Batu, Ahad lalu.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sikap BN tidak seperti Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang telah memulangkan semua kenderaan rasmi bagi mengelak percanggahan kepentingan dan salah guna kuasa.

“Barisan Nasional (BN) tidak rela memulangkan kenderaan rasmi mereka termasuk jet dan helikopter kepada pihak Kerajaan Malaysia. Jika BN tidak berbuat demikian, ia jelas membuktikan mereka memang sanggup menyalahgunakan kuasa dengan mempergunakan 3M iaitu media, wang (money) dan jentera (machinery) demi untuk menang PRU-13.

“Dari segi media kita melihat bagaimana mereka bukan sahaja memutarbelit isu malah kita juga melihat bagaimana fiksyen boleh menjadi fakta. Contohnya, New Straits Times yang dikawal BN melaporkan dengan salah bahawa saya menarik diri daripada berdepan Pengerusi BN Pulau Pinang di Padang Kota sedangkan sebenarnya dia yang menolak cabarannya sendiri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Guan Eng, pada masa sama, The Star bukan sahaja enggan menyiarkan penjelasan mengenai perkara itu, malah menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya melabur RM3 bilion di China sedangkan sebenarnya tidak melabur satu sen pun.

Beliau berkata, tawaran Rais memberi masa 10 minit kepada Pakatan Rakyat di RTM untuk menerangkan manifesto dianggap mengarut dan satu penghinaan sedangkan manifesto BN disiarkan secara langsung.

“Dari segi kewangan, bagaimana ada laporan bahawa Jabatan Perdana Menteri paling banyak berbelanja untuk pengiklanan, dengan membayar sekurang-kurangnya RM73 juta bulan lalu untuk pengiklanan, jauh lebih banyak daripada nilai yang dibelanjakan untuk iklaneka sebanyak RM43 juta, dan RM25 juta yang dibelanja Nestle dan Unilever Malaysia.

“Mereka membelanjakan wang melalui Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang yang pro-BN yang memberikan ‘sumbangan’ RM2.2 juta kepada persatuan wartawan dan kebajikan termasuk Kelab Wartawan Pulau Pinang, Persatuan Wartawan dan Jurugambar Pulau Pinang, dan Kesatuan Wartawan Malaya utara yang menerima RM50,000 setiap satu, bersama-sama 103 NGO masing-masing mendapat antara RM5,000 hingga RM50,000,” katanya.

Guan Eng berkata, BN juga menggunakan jentera mereka, seperti sumber, institusi dan kenderaan demi memberi mereka kelebihan yang amat besar dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai badan bebas dan tidak berpihak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja menghina oposisi malah menuduh pergerakan masyarakat sivil seperti Bersih menjadi alat kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, walaupun berhadapan cabaran sebegini, meski BN mempunyai 3M; Pakatan Rakyat memiliki kekuatan dan kuasa rakyat yang akan menentukan mandat pada PRU-13 ini.-Roketkini.com