Berita

DAP sokong Melayu jadi Menteri Besar Perak, ikut perlembagaan: Sivakumar

IPOH, 15 APR: DAP Negeri Perak tegas mahu orang Melayu dilantik menjadi Menteri Besar negeri itu sebaik sahaja kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Ia selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak sekaligus menempelak fitnah jahat sesetengah pemimpin UMNO-BN yang mempropagandakan bahawa ‘Cina DAP’ akan berkuasa dan mahu menjadi Menteri Besar negeri itu.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar berkata DAP dan PR bukan seperti BN yang sewenang-wenangnya melanggar undang-undang dan perlembagaan.

“Rakyat Perak harus ingat bagaimana Perlembagaan Negeri dimanipulasi sehingga menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat secara sah dirampas BN.

“Bagi kami, calon yang paling layak menjadi Menteri Besar Perak ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Sehingga sekarang pun beliau masih sah sebagai Menteri Besar,” jelas beliau dalam satu ceramah mega di Taman Canning malam tadi.

Mengimbau kembali peristiwa rampasan kuasa negeri oleh BN pada 5 Februari 2009, Sivakumar yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh mengingatkan BN bahawa rakyat negeri ini tidak akan mudah lupa dengan apa yang berlaku.

“Adakah dengan menyerbu dan mengurung saya sebagai Speaker Dewan Negeri yang sah dalam stor kemudian melantik Speaker dan Menteri Besar baru satu cara yang betul untuk mengambil alih kerajaan? Sepatutnya melalui usul tidak percaya. Mana BN buat semua ini. BN perlu ingat, rakyat Perak tidak mudah lupa!” tegasnya.

Justeru itu, katanya, tidak hairanlah jika BN cuba memberi ‘rasuah’ kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Apapun, bila mereka bagi duit, dapat RM500, kita masuk poket, kita undi ‘roket’,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.-Roketkini.com