Berita

Desak Peguam Negara dakwa segera Dr Mahathir

GELANG PATAH, 15 APRIL: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail digesa segera menangkap dan mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menghasut dan memfitnah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Peguam Negara perlu bertindak segera sebelum beliau meminta peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir yang memfitnahnya mengenai dalam blognya 11 April lalu.

Semalam penyandang Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membuat laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Mahathir dan memberi peluang Abdul Gani menangkap dan mendakwa Mahathir kerana menghasut dan memfitnah.

“Saya sendiri juga sudah dua peluang kepada Dr Mahathir untuk menarik balik dan memohon maaf kerana blog cauvinis itu sebelum mengambil tindakan undang-undang.

“Dua hari lalu, “operasi hitam” terbaru pada PRU-13 apabila muncul video seks kononnya membabitkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, membuktikan UMNO cukup terdesak sehingga sanggup berbohong dan memfitnah.

“Taktik kotor seperti itu juga pernah dimainkan UMNO/BN pada 1990 ketika kempen termasuk menuduh Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah yang memakai topi Kadazan dengan simbol salib menjual Islam kepada Kristian di Sabah,” katanya dalam kenyataan media di Gelang Patah, semalam.

Kit Siang penyandang Ahli Parlimen Ipoh Timur juga berkata, bukan setakat Tengku Razaleigh, malah Dr Mahathir sendiri juga pernah memakai topi Kadazan dengan salib ketika melawat Sabah.

Beliau berkata, media tradisional kawalan BN juga menyiarkan iklan untuk mewujudkan rasa takut dan panik di kalangan pengundi seperti akhbar Utusan Malaysia bertajuk “sokong Membawa Rebah” manakala Nanyang Siang Pao dengan “ingatan Sejarah” yang kedua-duanya menggambarkan pertumpahan darah, ganas, kebakaran dan pembunuhan beramai-ramai.

“Saya masih ingat ketika bertanya Dr Mahathir pada perbahasan di Parlimen selepas PRU 1990 samada beliau diberi “lampu hijau” terhadap muslihat kotor UMNO/BN, dan sekarang, saya yakin Mahathir di belakang kedua-dua “muslihat kotor” itu apabila mencipta pembohongan dan fitnah dalam blognya dengan menuduh saya mahu orang Cina di Gelang Patah dan Johor tidak bekerjasama dengan orang Melayu”; menggesa orang Cina di Johor suaya membenci orang Melayu dan mewujudkan konfrontasi tidak sihat antara orang Melayu dan Cina di Johor,” katanya.-Roketkini.com