Berita

Fitnah Mahathir: DAP buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Satu laporan polis dibuat oleh DAP di atas kenyataan fitnah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibuat terhadap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam sebuah tulisan di blognya 11 April lalu.

Dr Mahathir dalam tulisannya bertajuk ‘Gelang Patah’ telah menuduh kononnya Kit Siang bertujuan membangkitkan kebencian masyarakat Cina terhadap orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.

Mahathir menulis, “Kit Siang is going to bring about conflict and antagonism between the races, to wage the Chinese to dislike and hate the Malays.” (Kit Siang akan mencetuskan konflik dan permusuhan antara kaum, menyuruh orang Cina supaya tidak suka dan membenci Melayu)

Dalam kenyataannya semalam, Kit Siang memberi kata dua kepada Mahathir supaya meminta maaf dan menarik balik kenyataannya atau bersedia untuk dihadap ke mahkamah atas kenyataan fitnah yang dibuat terhadapnya yang disifatkan sebagai penipuan dan dusta semata-mata.

Laporan polis terhadap fitnah itu dibuat pagi ini di Balai Polis Jinjang oleh Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang DAP, Lim Lip Eng bersama Penasihat Strategi Pilihanraya DAP, Ong Kian Ming serta Naib Pengerusi DAPSY, Tiew Wey Keng.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga mereka menuntut supaya pihak polis melancarkan siasatan segera ke atas tindakan Mahathir yang disifatkan sebagai memancing sentimen perkauman. Kenyaatan beliau wajar disiasat mengikut Sekyen 499 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.

“Kami menggesa pihak polis supaya segera menyiasat kenyataan dalam blog Mahathir sebelum hari penamaan calon pada 20 April ini bagi memberi kenyataan yang kuat dan jelas bahawa politik mengumpan sentimen perkauman dengan menimbulkan ketakutan tidak akan dibiarkan dalam siri kempen PRU-13,” ujar mereka.

Sambil mengulang pendapat Kit Siang terhadap Mahathir yang dilihat sebagai tidak sesuai bagi seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri, mereka turut menggesa Perdana Menteri Sementara, Najib Razak untuk mengutuk kenyataan Mahathir itu.

Najib disaran supaya menjauhkan diri daripada mesej ketakutan sedemikian di sepanjang kempen pilihan raya umum ini, seandainya beliau tidak mahu memperlihatkan kegagalan slogan 1Malaysianya sebagai kata-kata kosong tanpa sebarang isi. – Roketkini.com