Berita

Risalah fitnah DAP tanpa nama mula diedar di Perak, taktik terdesak BN

IPOH, 15 APRIL: Barisan Nasional (BN) hanya menawarkan ‘ketakutan perkauman’ sebagai tema terbesar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini kerana mereka terdesak untuk terus berkuasa demi menutup pelbagai pembolotan harta negeri dan negara yang dilakukan.

Ia semakin menjadi-jadi apabila baru-baru ini DAP Perak mendapat aduan daripada penduduk di sekitar Ipoh yang menyatakan rumah mereka diedar dengan risalah kempen fitnah menuduh DAP sebagai parti perkauman dan sebagainya.

Paling ‘melucukan’ risalah itu tidak mempunyai sebarang nama dan tidak menolak kemungkinan ianya dilakukan oleh musuh politik DAP.

Aktivis Pemuda DAP Taman Canning, Fairuz Azhan menyifatkan BN khususnya UMNO dan MCA ‘mengtongsampahkan’ konsep 1Malaysia yang dijaja mereka sendiri.

Beliau berkata demikian pada satu ceramah mega di Taman Canning, malam tadi yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.

“Ini fitnah. Mereka kata DAP rasis tapi siapa sebenarnya yang rasis? Lihat sahaja Lim Guan Eng yang sanggup terpenjara gara-gara membela seorang gadis Melayu satu ketika dulu berhubung kes rogol membabitkan seorang Ketua Menteri di Melaka.

“Mereka kata kalau Pakatan Rakyat (PR) memerintah, negara akan huru hara tapi siapa yang mahu huru hara? Kita boleh lihat sendiri bagaimana UMNO seolah-olah merestui Perkasa walaupun banyak membuat kenyataan dan tindakan yang boleh menjejaskan hubungan kaum negara ini,” ujar beliau.

Menurut Fairuz, BN kelihatan semakin rasis apabila parti gabungan yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan tidak mempunyai suara dalam BN malah UMNO dilihat semakin tamak merampas kerusi yang pernah ditandingi parti itu.

“Kami mahu Malaysia yang baru, Malaysia yang harmoni. Ketakutan antara kaum sengaja dicetuskan demi kemenangan BN. Jangan kita terperangkap dengan taktik kotor mereka,” kata Fairuz.-Roketkini.com