Berita

Rakyat Perak tekad tebus maruah, kuburkan BN ‘pengkhianat’: Howard Lee

IPOH, 16 APRIL: Tidak ada gunanya jika sesebuah negeri itu kaya tetapi ditadbir pengkhianat dan perompak yang menggunakan alasan perkauman demi meneruskan rompakan hak rakyat yang dihalalkan mereka.

Setiausaha DAPSY Negeri Perak, Howard Lee Chuan How berkata, beliau mahu rakyat Perak kali ini menumbangkan kerajaan ‘haram’ Barisan Nasional (BN) yang mengkhianati mandat rakyat negeri ini dalam peristiwa rampasan kuasa tahun 2009 lalu.

“Adakah ini demokrasi yang mereka banggakan? Jika demokrasi dan undang-undang mereka boleh khianati, apalagi kita sebagai rakyat biasa,” katanya pada satu majlis ceramah, di sini, malam tadi.

Menurut Howard, pengkhianatan BN terhadap suara majoriti rakyat Perak harus ditebus demi maruah dan kedaulatan undang-undang.

“Ini bukan isu kaum, negeri kita ada perlembagaan, ada undang-undang mengapa kita perlu takut kepada BN? Mereka merampas hak kita dan kini sudah sampai masanya kita menuntut kembali hak yang dirampas itu.

“Saya menyeru kita semua rakyat berfikir dahulu sebelum memangkah undi. Undilah Pakatan Rakyat (PR) membabitkan PAS, DAP dan PKR kerana terbukti PR mampu memartabatkan semula hak dan kebajikan semua walaupun 11 bulan mentadbir,” ujar beliau.

Bagi meletakkan semula negeri Perak di landasan demokrasi yang betul, pemimpin muda DAP itu meminta orang ramai yang hadir menyampaikan mesej UBAH kepada keluarga dan teman agar melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

“Inilah masa terbaik untuk semua pengundi di Perak kuburkan BN,” katanya.

Rampasan kuasa di Perak adalah krisis perlembagaan serius membabitkan pertikaian politik mengenai keabsahan Kerajaan Negeri Perak. Rancangan jahat merampas pentadbiran negeri Perak bermula apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PR melompat parti.

Bermula daripada insiden lompat parti itu, BN memanipulasi isu seterusnya dengan tidak segan-silu mencemar kedaulatan undang-undang dan mengheret pihak istana ke kancah politik jahat mereka.-Roketkini.com