Berita

DAP seru rakyat UBAH: Kemenangan BN bakal gugat kestabilan negara

IPOH,17 APRIL: Kedudukan Malaysia tidak akan stabil jika Barisan Nasional (BN) menang dan terus memerintah negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini kerana gabungan dalam parti itu tidak lagi mempunyai kekuatan bersama apabila UMNO semakin mendominasi parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tambah memburukkan keadaan apabila isu perkauman dimainkan kelompok dan pemimpin tertentu BN yang dianggap mampu menimbulkan ketakutan dan tidak sihat bagi ekonomi dan masyarakat negara ini malahan mampu menyebabkan pelabur luar negara menarik balik pelaburan mereka.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat memilih Pakatan Rakyat yang memperjuangkan keadilan kepada semua kaum perkauman serta mensaksama ekonomi.

“Tetapi apa sudah jadi dengan BN? MCA nak bertanding pun tak berani. Kalau tak berani MCA boleh ‘tutup kedailah’. Kerusi sendiri pun tidak boleh nak pertahankan, jangan bercakap nak pertahankan hak rakyat,” ujar beliau dalam ceramah di Ipoh di hadapan lebih 2,000 orang, baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, BN dilihat semakin terdesak dan tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menakut-nakutkan rakyat dengan momokan 13 Mei, huru-hara dan negara muflis.


“Jangan bimbang, ini semua tidak akan dan tidak boleh berlaku. Samada Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan semua rakyat di Malaysia mahukan perubahan. Sekarang mantan jeneral tertinggi tentera pun bersama kita.

“Kita sudah tidak tahan lagi dengan rasuah. Kita berperang dengan rasuah dan salah guna kuasa, bukan kaum! rakyat Perak pun mahu menebus maruah mereka yang tercalar kerana kerajaan yang sah dirampas. Maruah kita boleh ditegak kalau Malaysia ada kebebasan, keadilan dan ketelusan,” kata Guan Eng. – Roketkini.com