Berita

PRU13: BN tertekan bila calon PR berpendidikan dan hebat

KUALA LUMPUR, 17 APR: Kalau dahulu, Barisan Nasional (BN) boleh meletakkan siapa saja menjadi calon dan ‘pasti menang’, kini tidak lagi apabila mereka terpaksa berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat (PR) yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi.

Justeru, tidak hairanlah apabila DAP mendedahkan bahawa terdapat beberapa bakal calon BN yang memiliki ijazah palsu atau ‘bermasalah’.

Pakar Strategik DAP, Dr Ong Kian Ming mendedahkan calon BN yang dikenalpasti memiliki ijazah palsu dan bermasalah ini antaranya ialah Timbalan Menteri Luar Negeri A Kohilan Pillay, Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Teh Kim Pooh, Ching Eu Boon dan Lee Ban Seng daripada MCA dan Ketua Hal Ehwal Agama UMNO Ab Wahab Ibrahim.

“Lima daripada calon BN itu berkelulusan dari akademi yang boleh disifatkan sebagai kilang ijazah, atau dalam erti kata lain daripada universiti dan kolej yang ‘menjual’ ijazah palsu,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Menimbulkan tanda tanya, beliau berkata, jika calon BN ini sanggup menipu mengenai kelulusan akademik mereka, bagaimana pula dengan perkara lain yang lebih besar dan mungkin membabitkan kepentingan awam seperti wang rakyat dan sebagainya.

“Perkara ini menyebabkan integriti mereka diragui. Jika mereka gagal menjelaskan pada pengundi, saya menyeru mereka menarik diri daripada bertanding,” kata Kian Ming.

Berikut adalah bukti yang didedahkan Dr Ong mengenai pendedahan beliau;

* Timbalan Menteri Luar Negeri, A Kohilan Pillay (calon Parlimen Puchong): Mendapat Ijazah Sarjana Sains Perdagangan dan Ekonomi Industri dari Pacific Western University, Amerika Syarikat (AS), sebuah universiti yang pernah disaman dan ditutup selepas didapati bersalah menjual ijazah

* Teh Kim Pooh (calon Parlimen Klang): Mendapat Ijazah Doktor Falsafah dari New Port University – sebuah universiti yang diragui

* Ketua Hal Ehwal Agama UMNO, Ab Wahab Ibrahim (calon DUN Taman Medan): Mendapat PhD dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Antarabangsa Irish yang dilaporkan palsu pada 2008 oleh British Broadcasting Corporation

* Pimpinan MCA, Ching Eu Boon dan Lee Ban Seng (Calon DUN Pandamaran dan Kajang mendapat ijazah daripada St George University International dan Universiti Rutherford di AS, yang disebut sebagai ‘kilang ijazah’.

Justeru itu, pendedahan dr Ong itu sekaligus meragukan terhadap integriti dan kejujuran semua calon BN yang dikatakan berkelayakan. Kita tunggu dan lihat apa alasan BN.-Roketkini.com