Berita

PRU13: Ahli UMNO sokong calon DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah

MENTAKAB, 18 APRIL: Pencalonan Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebagai calon DAP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab, Pahang disambut hangat pengundi kawasan berkenaan.

Selain sokongan masyarakat Cina di kawasan bandar, beliau turut menerima sokongan baik pengundi Melayu yang tinggal di kampung.

Menarik perhatian, Tengku Zulpuri mendedahkan bahawa beliau terkejut apabila mendapati pencalonannya di Mentakab turut mendapat sokongan orang kuat UMNO tempatan yang meluahkan sokongan mereka.

“Ada yang hubungi saya, ada yang kita jumpa. Bukan sahaja ahli UMNO biasa yang menyatakan sokongan tapi juga ada jawatan dalam JKKK. Cuma mereka tidak boleh tunjukkan sokongan secara terbuka. Kita pun faham perkara itu,” ujar beliau.

Menurutnya, suasana Pilihan Raya Umum ke-13 ini jauh berbeza dengan pilihan raya umum sebelum ini apabila kehadirannya dalam sesi ramah mesra dan program yang diadakan mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita sudah nampak, orang Mentakab memang mahu perubahan. Bila kami melawat pasar pagi dan bertemu peniaga, orang Melayu cukup gembira bila kita datang,” ujarnya.

Ditanya mengenai masalah utama kawasan itu, Tengku Zulpuri menjelaskan bahawa beliau sering menerima aduan mengenai masalah bekalan air yang melanda selain isu membabitkan kebersihan dan penyelenggaraan.

“Kita tidak salahkan pihak majlis, BN dulu pernah janji nak atasi masalah ini tapi mereka tidak tunaikan janji,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, calon MCA-BN, Chuah Boon Seong memenangi kawasan Dewan undangan Negeri Mentakab dengan majporiti 2,439 undi menewaskan calon DAP, Ng Kwi Ling yang mendapat 3,882 undi dan calon bebas Mohd Hokri Mahmood memperoleh 863 undi. – Roketkini.com