Isu Semasa

Asoghan dipecat parti, tidak wajar salah guna jawatan

KUALA LUMPUR, 30 APR: Laporan akhbar The Star yang mendakwa kononnya pemimpin akar umbi DAP menyokong seruan untuk tidak mengundi PAS adalah salah kerana Asoghan Govindaraju telah dipecat daripada parti.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai dalam kenyataan medianya hari ini memberitahu bahawa Asoghan dipecat keahliannya pada 23 April 2013.

“Ini adalah berikutan keputusannya untuk bertanding sebagai calon bebas untuk kerusi DUN Bagan Dalam,” ujar beliau.

Menurut Kok Wai sepucuk surat dihantar melalui email kepada Asoghan pada 23 April lalu memaklumkan bahawa tindakannya adalah suatu kesalahan berat yang melanggar disiplin parti.

“Jawatankuasa Disiplin tidak ada pilihan lain selain memecat keahlian beliau,” ujar Kok Wai.

Menurutnya lagi, Asoghan tidak berhak menggunakan jawatan Setiausaha Publisiti Jawatankuasa Perhubungan DAP Parlimen Bagan untuk apa-apa tujuan, seperti yang dilaporkan akhbar milik MCA itu hari ini. – Roketkini.com