Berita

Jangan sabotaj usaha Pakatan Rakyat – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 30 APR: Akhbar milik MCA, The Star secara nakal telah memutarbelitkan kenyataan bersama DAP dan PAS, kononnya kedua-dua parti tidak sepakat menerima 100% manifesto Pakatan Rakyat.

Walhal kenyataan bersama yang dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara jelas menyebut bahawa sebenarnya persetujuan di antara kedua parti itu sama sendiri adalah 95% dengan wujud sedikit perbezaan pendapat.

“95 peratus persetujuan DAP dan PAS adalah termaktub dalam Buku Jingga dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat,” ujar Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini membidas fitnah The Star.

“Ini langsung tidak benar kerana PAS dan DAP menyokong 100% manifesto Pakatan Rakyat,” kata beliau.

Menurutnya lagi, perbezaan 5% antara DAP dan PAS tidak termasuk dalam manifesto dan menjadi pendirian parti secara individu tanpa membabitkan Pakatan Rakyat.

“Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan bersama semalam, PAS mempunyai hak demokratik untuk menjuarai Islam dan konsep negara Islam. Manakala DAP pula menjuarai konsep negara demokratik Perlembagaan Malaysia yang menjanjikan keadilan untuk semua,” kata beliau.

“Walaupun hudud dan negara Islam menjadi pendirian PAS, pemimpin PAS menyatakan secara terbuka bahawa itu bukan pendirian Pakatan Rakyat,” tambahnya.

Kedua-dua parti PAS dan DAP bersepakat untuk berbeza pendapat secara baik dan memilih untuk memberi fokus kepada 95% persamaan dan kesefahaman bersama untuk berjuang demi kebebasan, keadilan, kebenaran, integriti dan demokrasi untuk semua.

“Pendirian ini telah dimeterai secara sebulat suara oleh pemimpin DAP dan ahlinya demi melawan Barisan Nasional (BN),” kata Guan Eng.

“Mana-mana ahli atau pemimpin DAP yang lari daripada pendirian parti adalah dengan sengaja bersekongkol dengan BN untuk melumpuhkan dan mensabotaj usaha Pakatan Rakyat untuk menang dalam pilihan raya yang tidak berapa hari sahaja lagi,” kata beliau lagi. – Roketkini.com