Berita

Kit Siang kesal risalah fitnah masih disebar di Johor

Kit Siang berceramah di padang sekolah Han Chiang semalam.

GELANG PATAH, 30 APRIL: Calon Pakatan Rakyat Parlimen Gelang Patah, Lim kit Siang kesal kerana risalah fitnah yang menuduh beliau pencetus peristiwa 13 Mei 1969 masih disebar tanpa sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

 

Beliau juga kecewa dengan sikap calon BN di kawasan itu, Datuk Abdul Ghani Othman yang tidak serius dan tidak peduli dengan kempen kotor yang dilakukan pelampau di Johor.

“Saya sudah beberapa kali meminta Abdul Ghani supaya bersama memastikan kempen pilihan raya umum ke-13 benar-benar bersih dan tidak dicemari penipuan dan pembohongan.

“Sebagai bekas Menteri Besar yang lama berkhidmat, beliau tentu faham betapa pentingnya untuk mengamalkan kempen PRU yang bersih,” katanya dalam kenyataan media di Gelang Patah, hari ini.

Menurut Kit Siang, fitnah 13 Mei terhadap beliau bukan sahaja kejam dan keji sepanjang kempen tetapi akan memberi kesan buruk kepada hubungan antara kaum selepas selesai PRU-13.

Katanya, fitnah itu tidak berasas, sebaliknya satu pembohongan dan penipuan semata-mata dan Abdul Ghani perlu lebih berani, tegas dan serius untuk menolak kempen politik kotor itu.

“Malah Abdul Ghani sebagai seorang pemimpin yang sederhana serta bijak dalam akademik sepatutnya lebih sedar tentang sejarah Malaysia. Beliau sepatutnya tahu bahawa saya tidak terbabit sama sekali dengan peristiswa 13 Mei 1969.

“Saya tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu kerana saya berada di Sabah pada 13 Mei 1969 untuk membantu kempen calon Bebas yang sama prinsip perjuangan dengan DAP. Rekod mengenai perkara ini ada dalam simpanan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak pernah membabitkannya dengan peristiwa 13 Mei 1969, malah tuduhan terhadap beliau mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969 itu tidak ada kena-mengena dengan tragedi 13 Mei 1969.

“Kempen busuk dan keji terhadap saya hanya memalukan budaya dan amalan orang Johor. Saya yakin pengundi Johor sudah sedar tentang propaganda palsu yang menuduh DAP sebagai parti cauvinis. Ini juga satu pembohongan.

“Sejak ditubuhkan 47 tahun lalu, DAP berjuang semata-mata untuk kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Kerana perjuangan inilah saya dan ramai pemimpin DAP yang lain ditahan tanpa bicara mengikut ISA secara zalim dan kejam,” tambahnya.

Kit Siang berkata, jika Abdul Ghani sudah lupa tentang perjuangan DAP, beliau ingin membantu beliau mengingati apa yang kami perjuangkan selama ini.

Antara prinsip asas DAP adalah:
* Berjuang menerusi cara berPerlembagaan untuk menubuhkan satu masyarakat bercorak demokrasi sosial.
* Memelihara negara Malaysia yang demokratik berasaskan hak mengundi dewasa sejagat rakyat Malaysia.
* Menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi dan peluang dalam sistem sedia ada; mewujudkan ekonomi yang memberikan peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat dan pulangan ekonomi setimpal dengan usaha dan kemahiran mereka.
* Memastikan kehidupan yang memuaskan dan keselamatan sosial kepada golongan tua dan kurang upaya dan
* Menyemai semangat perpaduan negara, bermaruah dan berdikari di kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka dengan perasaan untuk berikhtiar dalam mewujudkan satu masyarakat yang makmur, stabil dan saksama.

Beliau berharap Abdul Ghani faham dan akur tentang perjuangan DAP yang dipenuhi dengan duri, darah dan air mata, semoga beliau berusaha lebih keras untuk memastikan kempen PRU kali ini benar-benar bersih dan bebas daripada fitnah.- Roketkini.com