Berita

PR dijangka kekal menang 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Pakatan Rakyat (PR) dijangka mampu mengekalkan 11 kerusi yang dimenangi di Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Ahad ini.

Pada PRU 2008 lalu, Wilayah Persekutuan menerajui tsunami politik apabila PR memenangi 11 daripada 12 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur selain menawan lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak (yang dirampas BN secara tidak demokratik pada 2009).

PR juga dijangka megekalkan pemerintahan di empat negeri berkenaan serta merampas semula Perak serta dijangka memenangi Negeri Sembilan serta tambahan kerusi Parlimen di Johor, Sabah, Sarawak, Pahang, Perlis dan Terengganu.

Berdasarkan sambutan pengundi terhadap PR pada setiap ceramah yang diadakan di seluruh negara ini membuatkan BN semakin cemas sehingga memaksa Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak merayu supaya pengundi terus memberi mandat untuk memerintah.

Bagaimanapun, rakyat kali ini mahu melakukan perubahan untuk memilih PR kerana mereka mahukan sebuah kerajaan yang mampu mentadbir negara lebih baik berbanding BN yang begitu lama mezalimi rakyat dan kakitangan kerajaan, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Tinjauan di beberapa kawasan Parlimen di Kuala Lumpur mendapati DAP yang bertanding di Kepong, Seputeh, Cheras, Segambut dan Bukit Bintang tidak menghadapi masalah untuk kekal menang dan boleh menarik nafas lega kerana kerusi parlimen berkenaan sukar digugat dan tidak mampu untuk BN membuat kejutan.

Hanya kerusi Lembah Pantai, Wangsa Maju, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Putrajaya, Labuan, Batu dan Setiawangsa yang mungkin mendapat saingan, namun rakyat kali ini sudah tidak termakan pujukan kerana mereka bertekad mahu melakukan perubahan.

Angin perubahan (tsunami) dijangka melanda beberapa lagi negeri kali ini, termasuk Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis.

Penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, yang juga Naib Presiden PKR, sekali lagi akan diberi laluan mudah oleh pengundi kawasan berkenaan walaupun ditentang Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon Bebas, Rusli Baba.

Pada PRU 2008 lalu, Nurul Izzah memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,895 undi apabila mengalahkan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Bagaimanapun Nurul Izzah masih menganggap dia sebagai calon ‘underdog’ kerana ditentang seorang menteri. – Roketkini.com