Berita

Kit Siang mahu pilihan raya di Malaysia bersih, adil dan bebas

BATU PAHAT, 13 MEI: Lim Kit Siang mahu Pilihan Raya Umum di Malaysia bersih, adil dan bebas; demokrasi, pendidikan bertaraf dunia, selamat, sihat dan bersatu padu.

Ketua Parlimen DAP itu menjawab soalan yang dikemukakan Utusan Malaysia yang bertajuk “Apa lagi kit Siang mahu?” yang disiarkan akhbar milik UMNO hari ini.

Beliau berkata, jika sistem pilihan raya di negara ini bersih, bebas dan adil, sudah pasti Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi Datuk Seri Najib Razak kerana Pakatan Rakyat tidak menghadapi masalah memenangi 125 kerusi Parlimen yang disumbangkan 45 kerusi oleh PKR dan masing-masing 40 kerusi oleh PAS dan DAP.

Bagaimanapun, katanya, pilihan raya umum kali ini juga dianggap paling kotor dalam sejarah kerana UMNO/BN tidak amanah dan mengamalkan politik wang, penipuan dan tidak adil kerana Najib atau BN hanya memperolehi 47 peratus undi polupar berbanding Anwar dan Pakatan Raykat memperolehi 51 undi popular iaitu pertama kali dalam sejarah 13 kali pilihan raya umum dalam tempoh 56 tahun.

“Bolehkan Najib dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyalahkan sebahagian rakyat Malaysia, terutama generasi muda yang jelas mahukan perubahan dan memilih kerajaan baru yang dicuri daripada keputusan pilihan raya yang kotor.

“Kedua, saya mahu Malaysia sebuah negara demokrasi di mana semua parti politik dan calon menerima prinsip bahawa pengundi mempunyai hak memilih kerajaan untuk tempoh lima tahun dan peralihan kuasa secara aman melalui peti undi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, ketiga kedaulatan undang hendak dipelihara sepenuhnya, bukan melindungi kroni atau kumpulan tertentu dikecualikan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Esok adalah ulangtahun ke-44 peristiwa 13 Mei yang menuduh Kit Siang sebagai pencetus sedangkan ketika kejadian saya tidak berada di Kuala Lumpur antara 11 – 13 Mei 1969,” katanya.

Menurutnya, bekas ahli UMNO, Tamrin Ghafar, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba, juga pernah bercakap dalam ceramah bahawa kit Siang tidak terbabit tragedi 13 Mei tetapi sebagai usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

“Saya juga mahu pendidikan bertaraf dunia samada peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti tetapi sekarang Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara lain.

“Saya juga mahu Malaysia negara selamat, hijau, sihat dan bersatu kerana sekarang ini rakyat rasa mereka tidak selamat, termasuk dari segi jenayah, dan pencemaran alam sekitar,” katanya.-Roketkini.com