Berita

Pemecatan Asoghan sah, tidak wajar dipertikai: Kok Wai

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, G Asoghan tidak sepatutnya mempertikai pemecatannya sebagai ahli DAP kerana tindakan itu adalah sah di sisi undang-undang dan disiplin parti.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai berkata, berikutan pemecatan itu, Asoghan kini tidak lagi layak memegang apa-apa jawatan atau menjalankan tugas parti termasuk sebagai Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar.

Katanya, pemecatan Asoghan juga sah kerana ketika pemecatan itu dilakukan pada 23 April lalu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP masih sah kerana belum lagi disiasat dan diputuskan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Asoghan tidak wajar mempertikai pemecatan dan status CEC walaupun sedang disiasat ROS berikutan aduan mendakwa berlaku penyelewengan dalam pemilihan CEC pada Disember lalu.

Asoghan mendakwa menerima surat pemecatan bertarikh 23 April itu yang ditandatangani kok Wai yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP.

Beliau mendakwa surat pemecatan yang ditandatangani Tan (Kok Wai) adalah tidak sah di sisi undang-undang dan tidak akan mengendahkan surat pemecatan itu.

Asoghan yang sebelum ini Setiausaha Publisiti DAP Parlimen Bagan tidak lagi memegang jawatan itu dan tidak layak membuat sebarang kenyataan bagi pihak DAP.-Roketkini.com