Rencana

Pojok: Anak Mami Di Perantauan – Melayu Cina bergaduh, siapa pula tepuk tangan?

DAN bersuaralah sekalian yang mengaku Melayu supaya perniagaan Cina diboikot dengan harapan supaya ekonomi mereka itu lumpuh lantas menerima pengajaran daripada ‘pengkhianatan’ kaum itu terhadap Barisan Nasional (BN).

Tidak ada perkara yang lebih bangang daripada itu. Orang yang gagal hafal sifir pun tidak bangang semacam ini. Ini bangangnya tahap tinggi. Bangang yang ada PhD.

Ya, kasar saya tahu. Tapi bangang perlu dikhabarkan tentang kebangangangannya. Jika tidak sampai kiamatlah dia tidak sedar dan tidak berusaha untuk memperbaiki diri. Orang bodoh tidak sedar kebodohannya, kecuali diberitahu. ‘Hey bodoh.. ini salah’. Baru dia sedar. Kalau tidak, dia tidak tahu. Sebab mana mungkin dia berfikir sendiri.

Kebodohan tahap tinggi ini tambah memalukan kerana dipelopori mereka yang kononnya cerdik pandai belaka. Belajar tinggi, tapi bangangnya tetap tidak hilang. Ini amat kasihan. Seperti pantun pepatah orang tua-tua; berburu ke padang datar, dapat rusa berbelang kaki, berguru kepalang ajar, ibarat bunga kembang tak jadi.

Seruan memboikot ekonomi orang atas dasar perkauman ini adalah tanda-tanda ilmu tak berkat. Maka disumpah menjadi bangang. Manusia yang mengamalkan sifat perkauman adalah manusia yang bangang. Otaknya kecil. Kandungan oksigen dalam rendah juga mungkin rendah. Maka tidak dapat berfikir baik buruk tindakannya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berhempas pulas dan bersusah payah mengajak semua orang supaya berpegang teguh kepada dasar murni yang dibawanya dalam gagasan 1Malaysia. Entah di mana silapnya sehingga walaupun berpuluh kali diucapkan, ‘Satuuuu! Malaysia’ itu sampai naik muncung bibir; slogan hanya tinggal slogan dan UMNO kekal dengan perangai perkaumannya.

Ini menyedihkan. Bukan itu sahaja. Keadaan begini amat memualkan. Seolah-olah semua orang perlu berjaga-jaga, kalau-kalau ada mana-mana mangkuk hayun yang mula mencetuskan apa-apa perkara yang tidak diingini.

Ya benar, atas prinsip demokrasi dan kebebasan, yang rasis juga harus dibiarkan bergerak dan berdakwah tentang keunggulan serta kemuliaan kaumnya. Ini asas yang diperjuangkan. Namun hakikatnya kebebasan turut punya keterbatasan. Terutamanya apabila kebebasan untuk membangkitkan api perkauman menjadi ancaman kepada keamanan dan keharmonian.

Kebodohan melampau puak-puak ektremis kaum ini bukan sahaja harus ditentang malah wajar dibungkam sama sekali. Tangkap, siasat, dakwa dan sumbat ke penjara. Namun ini semua hanya boleh berlaku sekiranya sistem undang-undang berfungsi dengan baik. Ini belum tentu terjadi seandainya BN masih menjadi pemerintah.

Aci kerat jari, kalau yang menyeru supaya boikot produk kaum lain ini penyokong Pakatan Rakyat, menderu-derulah pihak berkuasa datang mengheret mereka masuk ke rumah pasung.

Hanya kerana yang memainkan isu perkauman ini tergolong daripada kalangan mereka yang merasa dirinya tuan, maka selamat tidak kena apa-apa. 1Malaysia lah sangat. – Roketkini.com