Berita

Siasat kenyataan bekas hakim – DAPSY

KAJANG, 14 MEI: Kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang menggambarkan orang Melayu akan membalas dendam terhadap orang Cina berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu mengundang kemarahan ramai selain menyebabkan masyarakat Cina rasa terancam.

Berikutan itu Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Selangor, Chua Yew Choong hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Kajang terhadap kenyataan Datuk Mohd Noor yang disifatkan sebagai menghasut dan membuatnya ‘rasa tergugat’.

Menurut Chua, kenyataan Mohd Noor bahawa, “Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi,” serta “…Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah,” adalah bertujuan menghasut dan berbaur ugutan terhadap masyarakat.

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kluang, Mahdzir Ibrahim yang turut hadir di balai menyifatkan kenyataan bekas hakim itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat untuk membakar api perkauman.

“Ia bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Najib Razak,” ujarnya sambil mendesak supaya pihak berkuasa menyiasat kenyataan itu secara telus dan profesional tanpa mengira latar belakang beliau sebagai seorang bekas hakim.

“Saya menyeru supaya rakyat menolak politik perkauman dan memboikot Utusan Malaysia yang menjadi ejen perkauman,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Rajiv a/l Rishyakaran; ADUN Balakong, Ng Tien Chee serta dan ADUN Teratai, Tiew Way Keng. – Roketkini.com