Isu Semasa

Karpal Singh buat laporan polis dakwa Mohd Noor keluar kenyataan berunsur hasutan

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Tun HS Lee, di sini, kerana bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan akhir minggu lalu.

Beliau mahu Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan tegas ke atas Mohd Noor yang dianggap sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, Mohd Noor dalam kenyataannya memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya bersiap sedia menerima tindak balas daripada orang Melayu.

“Saya membuat laporan ini demi kepentingan orang awam dan harap AG akan mengambil tindakan cepat mungkin kerana kenyataan itu boleh memberikan kesan tidak baik kepada Negara,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan polis.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor terkejut dengan kenyataan Mohd Noor kerana bekas hakim itu adalah seorang yang adil dan baik sepanjang mengenalinya.
“Sepanjang yang kenal, Mohd Noor adalah seorang baik dan hakim yang adil ketika di mahkamah, sebab itu saya terkejut apabila dia mengeluarkan kenyataan sedemikian,” tambahnya.

Menurutnya, kenyataan Mohd Noor jelas menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak lebih tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Mohd Noor adalah seorang daripada panel dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi pada hujung minggu lalu mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan dan perkauman pada satu forum bertajuk “Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Berikutan kenyataannya itu, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) memberi reaksi balas mengkritik dan mengecam Mohd Noor yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan antara masyarakat Cina dan Melayu di negara ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lali, Barisan Nasional (BN) hanya menang tipis dengan memperoleh 133 kerusi Parlimen berbanding 140 kerusi yang dimenangi pada PRU-12 pada 2008.

Manakala PR memenangi 89 kerusi Parlimen iaitu pertambahan tujuh kerusi berbanding pada PRU 2008.

Kemerosotan undi yang diperolehi BN membuatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menganggap kemerosotan terburuk dalam sejarah BN itu kerana “tsunami Cina”.

Akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia pula menganggap pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum apabila tidak mengundi BN, dengan satu tajuk muka depan akhbar itu berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.-Roketkini.com