Isu Semasa

“Saya kecewa perkhianatan UMNO terhadap Ghani”: Kit Siang

GELANG PATAH, 16 MEI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang kecewa dengan pengkhianatan UMNO terhadap bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang tidak dilantik sebagai Senator untuk menjadi Menteri dalam Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, sedangkan sebelum ini, pemimpin UMNO memberi pujian tinggi menggunung kepada Abdul Ghani ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, apabila mencalonkan Abdul Ghani bertanding menentang beliau di Parlimen Gelang Patah.

Beliau berkata, pilihan raya umum sepatutnya tidak dianggap sebagai pertandingan kalah mati, dan mengakui Abdul Ghani memberi sumbangan tidak ternilai kepada pembangunan dan kemajuan Johor, kemampuannya sepatutnya diserap dalam kerajaan Persekutuan kerana masih boleh memberi khidmat dan sumbangan.

“Saya terkejut melihat Abdul Ghani berdepan dengan begitu banyak tentangan di dalam UMNO kerana terdapat kuasa yang besar membantah kembalinya beliau ke arena politik nasional, sehinggakan MUBARAK mengeluarkan kenyataan menentang mana-mana calon UMNO yang kalah pada PRU-13 dilantik sebagai Senator dan Menteri.

“Satu-satunya yang berdiri lebih tinggi dari segi kemampuan intelek berbanding yang lain dalam Kabinet ialah graduan Oxford, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tetapi pernah menyakiti terlalu ramai sepanjang zaman kegemilangannya sebagai menantu Tun Abdullah dalam tempoh pendek bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri.

“Sebenarnya saya pernah menyindir Khairy di Parlimen sebagai “belia tanpa pekerjaan paling kaya di dunia” sewaktu dia berlagak pandai. Saya harap bertahun-tahun di “hutan belantara” terpaksa mengakui kesilapannya kerana walaupun sebagai Ketua Pemuda UMNO, dia diketepikan sedangkan timbalannya dilantik timbalan menteri,” katanya.-Roketkini.com