Berita

Pihak berkuasa Singapura diminta tidak batalkan pas kerja rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Pihak berkuasa Singapura diminta memberi peluang kedua kepada rakyat Johor yang melanggar undang-undang negara jiran itu kerana mengadakan aktiviti Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di pulau itu sebagaimana pengecualian diberi kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata beliau memohon jasa baik pihak berkuasa Singapura supaya memberi peluang kedua kepada pekerja Malaysia yang dikatakan melanggar undang-undang negara itu kerana semangat PRU-13 mereka.

“Saya tidak minta negara jiran itu memberi layanan sama seperti Abdul Ghani tapi sekurang-kurangnya memaafkan mereka supaya setiap orang boleh meneruskan kehidupan selepas mempelajari hakikat kehidupan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, mengikut laporan pihak berkuasa Singapura telah mula membatalkan pas kerja seorang daripada 21 rakyat Malaysia yang terbabit di dalam perhimpunan haram pada 8 dan 11 Mei lalu di Merlion Park Singapura dan pihak berkuasa turut membatalkan pas lawatan dua lagi daripada kalangan mereka.

Bagaimanapun, bagi 18 rakyat Malaysia mengikut kenyataan Singapore Police Force (SPF) pas kerja mereka akan dikaji semula selepas selesai siasatan lanjut.

Selain itu, pihak berkuasa Singapura menyatakan Datuk Seri Abdul Ghani Othman tidak berkempen dan dengan itu tidak melakukan sebarang kesalahan ketika melawat Singapura pada hari terakhir tempoh berkempen PRU-13, baru-baru ini.

“Saya memuji pihak berkuasa Singapura kerana cuba mempertahankan Abdul Ghani apabila mengatakan bekas Menteri Besar Johor itu tidak berkempen di Singapura walaupun jelas matlamat utama Ghani melawat Singapura ialah untuk merayu undi daripada rakyat Malaysia sama ada yang berkerja atau menetap di Singapura, dipercayai seramai 400,000 orang.

“Jelajah saat akhir Abdul Ghani ke Singapura untuk merayu undi rakyat Johor yang tinggal dan berkerja di negara itu ialah satu idea melalut yang difikirkan strategis “bilik perang” pemimpin UMNO yang gagal dengan teruk, sama seperti idea menjemput bintang K-Pop Korea Selatan Psy ke Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang atau lebih teruk serangan “Duit Duit Duit” ke atas DAP di Pulau Pinang, mengumpan rakyat negeri itu dengan makanan, minuman dan hiburan percuma serta wang tunai termasuk cabutan bertuah yang mahal-mahal untuk sepanjang minggu!

“Saya tidak iri hari dengan lawatan18 tahun sekali Abdul Ghani ke Singapura atau usaha pihak berkuasa Singapura untuk melepaskannya yang berkempen di kalangan pekerja warga Malaysia di Singapura,” katanya.-Roketkini.com