Berita

ADUN Bukit Gasing sedia beri khidmat terbaik

PETALING JAYA, 20 MEI: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing boleh menarik nafas lega apabila menerima wakil rakyat baru, Rajiv Rishyakaran yang akan memberikan khidmat beliau kepada rakyat kawasan itu menggantikan mendiang Edward Lee yang meninggal dunia pada Disember 2011 lalu.

Rajiv sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada isu pembangunan yang berbangkit termasuk isu membabitkan cerun dan kejadian tanah runtuh.

“Aspek dan kesan pembangunan adalah isu sensitif yang perlu ditangani dengan teliti demi kepentingan semua pihak.

“Kita telah memulakan dialog dan perbincangan dari semasa ke semasa dengan pihak terbabit serta wakil penduduk bagi memberi penambahbaikan kepada program tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis merasmikan Pusat khidmat Masyarakat ADUN Bukit Gasing baru-baru ini.

Pusat Khidmat Masyarakat itu akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat mulai jam 10 pagi hingga 5 petang dan turut dibuka pada Rabu mulai jam 7.30 hingga 10 malam.

Untuk mendapat sebarang perkhidmatan atau maklum balas, orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat itu menerusi talian 03-7784 7490 atau email: [email protected].

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek Fernandez.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Rajiv yang mewakili DAP memenangi kawasan itu apabila menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 15,842 undi.