Berita

MCA cadang buka keahlian kepada kaum lain, apa kata ‘abang besar’?

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Pemerintahan berdekad Barisan Nasional (BN) berasaskan amalan pecah dan perintah menerima tamparan hebat apabila Ketua MCA Selangor, Donald Lim  mencadangkan agar MCA membuka keahlian partinya kepada kaum lain.

Kenyataan Donald Lim dalam laporan media baru-baru ini menggambarkan sebahagian pimpinan parti komponen BN mula sedar bahawa politik berlandaskan perkauman semakin tidak diterima masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kluang, Mahdzir Ibrahim, idea Ketua MCA Selangor itu boleh menimbulkan keraguan kerana Presiden MCA, Chua Soi Lek sendiri takut berhadapan dengan politik perkauman UMNO.

“Untuk memastikan idea itu boleh dilaksanakan, MCA sendiri perlu terlebih dahulu membuat kenyataan mengutuk Utusan Malaysia dan semua kenyataan bersifat perkauman yang dibuat UMNO dan badan gabungan mereka, terutama Perkasa.

“MCA juga mesti membuat bantahan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menganggap PRU-13 sebagai ‘tsunami Cina’. Jika tidak, cadangan Donald Lim itu hanya retorik politik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan itu secara langsung membuktikan bahawa DAP berada di landasan yang betul dalam politik  arus perdana Malaysia.

“Sebagai bukti, DAP kini mempunyai wakil daripada pelbagai kaum di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Jadi, semua pembohongan dan tuduhan bahawa DAP adalah parti perkauman adalah tidak benar sama sekali.

“Cadangan itu pastinya akan memberi kesan bagaimana kita dapat membangunkan nilai baik yang sama dalam politik dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih terbuka, masyarakat  yang mempunyai kesedaran sebagaimana masyarakat madani, berkongsi nilai moral dan masyarakat yang tahu menghormati budaya atau agama masyarakat lain,” katanya.

Tambah beliau, secara dasarnya, ahli politik yang matang dan demokrat pastinya mengalu-alukan idea ini berdasarkan perubahan drastik dalam demografi politik pada masa kini.

“Apapun, kami menyeru agar niat murni itu akan membantu mempercepatkan proses pembaharuan dalam melaksanakan integriti demi sebuah negara yang berdaulat. Kita mahu membuang semua politik kebencian, kotor, fitnah dan perkauman,” katanya yang juga bekas calon DAP Parlimen Tanjung Piai.-Roketkini.com