Berita

Solidariti untuk Adam Adli: DAP desak Adam Adli dibebas, mahu Utusan Malaysia, Zahid Hamidi didakwa

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Tindakan polis menahan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim mengikut Akta Hasutan dan menjalankan siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi mencerminkan sikap hipokrit dan keangkuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak.

Dalam satu kenyataan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, tindakan itu menunjukkan BN gagal mengambil iktibar daripada kelemahan pentadbiran mereka sebelum ini.

“Julai lalu, Perdana Menteri Najib Razak berkata bahawa Akta Hasutan sudah ketinggalan zaman dan akan digantikan dengan undang-undang baru untuk mencegah hasutan kebencian agama atau kaum tetapi, apa yang berlaku sebaliknya,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Nie Ching juga mempersoalkan mengapa Utusan Malaysia tidak diambil tindakan kerana tajuk utama akhbar itu “Apa lagi Cina mau?” 7 Mei lalu yang disifatkan ramai pihak sebagai mengancam keamanan dan kerukunan hidup masyarakat pelbagai kaum negara ini.

“Mengapa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga tidak disiasat atas kenyataannya yang mahu rakyat yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 agar berhijrah dari Malaysia”? Adakah pemimpin BN ini kebal daripada undang-undang?” soal beliau.

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataannya yang turut mendesak Adam Adli dibebaskan berkata bahawa penahanan aktivis mahasiswa itu amat memalukan negara.

“Dalam kempen Perdana Menteri Najib Razak, beliau telah menyatakan komitmennya untuk membentuk Malaysia yang moden, progresif dan maju kehadapan mengamalkan demokrasi dan melindungi hak dan kebebasan rakyat tetapi apa yang berlaku tidak seperti yang dicanangkan.

“Apa guna memansuhkan AUKU apabila aktivis pelajar masih boleh teraniaya apabila mereka menyuarakan pendapat. Bagaimana Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang progresif jika suara anak-anak muda dan pelajar negara ini sesuka hati diancam dan dibungkam begitu sahaja? soal beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang.

Bagi Penolong Setiausaha Pemuda DAP Pulau Pinang, Satees Muniandy, pihaknya menyifatkan penahanan Adam Adli sebagai sebuah tindakan dwi-standard dan tidak adil.

“Sepatutnya mereka yang membuat kenyataan hasutan seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Ridhuan Tee dikenakan tindakan, tetapi sehingga kini pihak polis tidak mengambil tindakan apa-apa pun terhadap mereka.

“Ini sangat jelas menunjukkan pihak polis sekali lagi digunakan sebagai alat oleh kerajaan BN demi kepentingan politik mereka,” katanya.

Adam Adli ditahan reman selama lima hari mengikut Kanun Keseksaan 124B dan Seksyen 4(1)C Akta Hasutan bermula semalam manakala pada 17 Mei lalu, ADUN Seri Setia Nik Nazmi didakwa mengikut Seksyen 9(1) PAA yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya didenda melebihi RM2,000.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu menunjukkan BN hanya mendapat undi popular sebanyak 47 peratus berbanding undi popular yang diperolehi PR yang mendapat 51 peratus sekaligus berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Keputusan pilihan raya itu juga memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Najib Razak yang dipetik media berkata “Sebenarnya, saya akan terkejut jika kita tidak mendapat majoriti dua pertiga”.-Roketkini.com